Senarai pemain baharu Kedah ada kejutan

Alor Setar: Kedah bakal mengumumkan barisan jurulatih dan pemain yang akan membarisi pasukan itu tidak lama lagi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim 2021.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai nama pemain dan jurulatih itu kini dalam peringkat akhir yang terdiri daripada barisan pemain lama dan baharu.

“Ada ramai muka lama dikekalkan dan ada juga muka baharu yang akan diperkenalkan, kita ada sedikit kejutan buat penyokong Hijau Kuning.

“Tapi saya tak boleh beritahu lagi apa kejutan itu, kita tunggu apabila tiba masanya,” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembeliaan 80 peratus saham Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dalam saham syarikat Darulaman FC Sdn Bhd (DFCSB) oleh syarikat luar, Muhammad Sanusi berkata perkara itu masih lagi dalam perbincangan.

Katanya ketika ini, MBI sedang meneliti tawaran dibuat oleh sebuah syarikat yang dilihat memiliki kemampuan kewangan kukuh.

“Jika ada pihak mampu membayar RM26 juta untuk miliki saham 80 peratus di dalam pasukan Kedah, MBI sedia menjualnya. Kita akan jual saham kita kepada mereka yang mampu menyara pasukan bola sepak kita.

“Ada satu syarikat dari Kuala Lumpur bersedia mempertimbangkannya tapi belum pasti sama ada syarikat itu mahu membeli keseluruhan 80 peratus saham yang dipegang MBI atau kurang daripada itu. Rundingan masih berjalan dan kita bersedia membuat pertimbangan,” katanya.