Sembilan Pemain Import TFC

Terengganu FC (TFC) dijangka bakal berwajah baharu menjelang saingan Piala Malaysia (PM) yang bakal membuka tirainya pada Sabtu ini.

Ini kerana sembilan pemain import termasuk empat pemain daripada pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II) bakal ‘berkampung’ dalam kem latihan skuad kendalian Nafuzi Zain dan pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan serta Rosdi Talib.

Selain itu, jurulatih muda meningkat naik itu juga mempunyai peluang seluasnya untuk menggunakan khidmat pemain tempatan dalam skuad The Turtles itu selepas saingan Piala Cabaran musim ini dibatalkan.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Kelantan itu menjelaskan beliau perlu membuat penilaian terlebih dahulu terhadap pemain berkenaan selain bergantung kepada kesesuaian pasukan.

“Semua pemain import TFC II akan menjalani latihan bersama pasukan TFC. Ini bermakna kami mempunyai pilihan sembilan pemain import dan juga pemain tempatan sebagai persediaan menjelang saingan Piala Malaysia, tambahan pula jadual saingan PM ini begitu padat.

“Namun kita akan melihat daripada segi kesesuaian pemain berkenaan bersama pasukan, lagipun pentas Piala Malaysia berbeza berbanding liga, tapi kehadiran mereka bagus buat pasukan,” katanya.

Ketika ditanya pasukan paling bahaya dalam Kumpulan B, beliau tanpa berselindung akui juara 33 kali, Selangor FC adalah pencabar terkuat selain Perak FC dan pasukan di kedudukan ketiga Liga Perdana.

“Sudah tentu Selangor FC paling kuat dalam kumpulan kami, lebih-lebih corak permainan pasukan itu semakin meningkat dan menjadi dalam saingan liga, malah tradisi dan reputasi skuad itu dalam kejohanan memasuki edisi ke-100 juga hebat dengan memegang rekod pasukan paling berjaya dalam kancah Piala Malaysia.

“Namun dua lagi pencabar tidak boleh dipandang sebelah mata kerana mereka mampu membuat kejutan jika kita mengambil mudah,” katanya.