Selangor Dan JDT ?

Saya tertanya-tanya tatkala membaca berita tentang Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) meny@mbar enam lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi setiap pasukan dengan ditawarkan kontrak antara dua hingga tiga tahun.

Hanya 12 ditawarkan kontrak, nasib 28 pemain lagi bagaimana agaknya. Sudah pastilah pemain yang ditawarkan itu adalah yang terbaik dari kelompok 40 pemain terbaik daripada seluruh negara bagi peringkat umur 17 tahun yang dihimpunkan di akademi bolasepak kebangsaan di Gambang ini sejak mereka berusia 13 tahun lagi.

Pendek kata, merekalah pemain masa depan untuk negara dan juga bagi mana-mana pasukan yang berminat samada dari dalam dan luar negara untuk beberapa tahun mendatang.

Ini kelompok kedua 40 pemain yang dikatakan sudah bergraduan di AMD seperti kelompok pertama pemain tahun lalu. Pada 2019, saya difahamkan 22 pemain (ada yang kata 28 pemain) disambar Selangor dan 12 pemain (ada yang kata 6 pemain) ditawan oleh JDT.

Bersandarkan kepada jumlah pemain ini bermakna Selangor sudah memiliki sejumlah hampir 30 pemain terbaik dan terhebat yang ada di negara kita ini mengikut tahap umur 18 dan 19 tahun. JDT pula telah memiliki hampir 20 pemain dalam kategori yang sama.

Mudah sahaja tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak kepada pemain ini sejak mereka dalam program pembangunan bolasepak negara atau (NFDP), tetapi hanya menunggu sahaja di muara dengan pukat atau bubu untuk menangguk pemain ini. Biarpun bermodal tetapi tidaklah sebesar mana.

Salah ke??…memang saya tidak mengatakan ini suatu kesalahan kerana wang yang diperlukan oleh NFDP kemudiannya ke AMD sebenarnya jauh lebih besar berbanding dengan membeli produk yang telah siap dan hampir sempurna.

Memang lumrah selepas tamat di AMD maka akan bertaburanlah pemain mengikut nasib dan hala tuju masing-masing. Justeru tiada siapa yang boleh menahan dan tiada siapa yang boleh menyalahkan Selangor mahupun JDT kerana strategi mereka lebih terserlah dan terancang.

Cuma beberapa persoalan timbul dibenak pemikiran saya yang mungkin tidak sebijak pentadbir-pentadbir atau penganalisis-penganalisis bolasepak di negara kita ini. Persoalan pertama, mengapakah hanya Selangor dan JDT yang menguasai produk AMD ini?

Apakah hanya dua pasukan ini sahaja yang mampu? Apakah pasukan lain seperti Kedah, Pahang, Perak, Terengganu dan lain-lain tidak mampu untuk memiliki walau seorang dua pemain khususnya pemain kelahiran negeri masing-masing untuk ditawarkan kontrak?

Atau adakah terdapat sebarang ‘rundingan atau perjanjian khas’ untuk kontrak yang wujud ini? Atau hanya Selangor dan JDT sahaja yang berminat? Atau pemain-pemain terbaik AMD hanya mahukan kontrak bersama dua pasukan ini sahaja?

Persoalan kedua saya, apakah ini struktur pembangunan bolasepak negara yang sihat, seimbang serta mengujudkan suasana saingan yang lebih kompetitif? Ianya bukan sahaja kepada pasukan bahkan juga kepada pemain terbaik kelahiran akademi bolasepak kebangsaan ini.

Jika sudah terlalu ramai berada dalam satu-satu pasukan, maka lebih ramailah yang akan duduk memenuhkan bangku simpanan daripada menjadi pemain yang semakin matang dengan mengumpul waktu bermain yang lebih optimum.

Aspek ini perlu dilihat kembali jika kita benar-benar ingin melahirkan pemain kelahiran AMD yang terus menyerlah tanpa menunggu beberapa tahun selepas keluar dari Gambang.

Sedarlah kemajuan bolasepak di negara ini akan bergerak perlahan jika masih ada sikap eg0, ir!hati dan tamak serta bersifat membu nuh pasukan lain dengan mengunakan tarikan dan kekuasaan wang ringgit.

Pasukan yang mempunyai kuasa dan wang akan maju ke depan serta mencapai kejayaan dan kepuasan peribadi hingga meninggalkan pasukan lain jauh ke belakang. Walhal, jika kita sudah kuat sekalipun kita harus membantu pesaing-pesaing kita dengan menghulurkan tangan.

Kalau yang berada di bawah harus kita bantu dan tarik naik ke atas setidak-tidaknya sebaris dengan kita kalaupun tidak mahu menolaknya naik lebih tinggi. Keikhlasan untuk sama-sama maju itulah yang nantinya akan melahirkan pasukan kebangsaan yang hebat dan berjaya pada masa depan.

sumber: BH

Penulis adalah pengulas Sukan ASTRO Arena & Foxs Sport Channel