‘Selangor boleh ke final Piala Malaysia’

KUALA LUMPUR: Falsafah ‘transition football’ yang diterapkan pemangku jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner jelas menyuntik semangat baharu yang menyaksikan jentera ser@ngan pasukan itu menjadi begitu berbisa.

Justeru, corak permainan penuh bertenaga itu dilihat mampu memacu The Red Giants untuk menjadi pencabar di Piala Malaysia nanti sekali gus memburu kejuaraan berprestij itu buat kali ke-34.

Mengulas mengenai perubahan yang sedang berlaku dalam pasukan itu, bekas jurulatihnya, B Satianathan mengakui pasukan itu seharusnya tidak berdepan sebarang masalah meraih mata penuh dalam tiga aksi terbabit iaitu menentang UiTM FC, PDRM dan juga FELDA United.

“Baguslah kerana Selangor main dengan corak permainan sebegitu. Mereka menjaringkan banyak gol dalam tiga perlawanan terakhir dan kalau main seperti ini, mungkin Selangor boleh ke final Piala Malaysia.

“Saya pun sudah cakap kepada pemain sebelum ini bahawa dalam tiga perlawanan selepas menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), semuanya tidak sukar dan kita boleh mendapatkan mata maksimum daripada tiga aksi terbabit.

“Apapun, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Selangor bagi aksi Piala Malaysia dan juga untuk musim depan,” katanya.

Terdahulu, falsafah ‘transition football’ yang diterapkan pengendali dari Jerman itu jelas dijulang penyokong Selangor yang gembira dengan persembahan bertenaga yang ditampilkan pemain dalam tiga perlawanan terakhir musim ini.

Malah, tidak kurang ada yang turut membandingkan pendekatan terbabit dengan taktikal yang digunakan Satianathan khususnya dari segi jumlah jaringan yang berjaya dihasilkan menerusi dua pendekatan berbeza terbabit.

Dalam lapan perlawanan di bawah kendalian Satianathan, Selangor hanya menghasilkan 10 jaringan namun di bawah kendalian Feichtenbeiner, mereka bagaikan ‘dirasuk’ apabila meledak 16 gol dalam tiga perlawanan sebelum menutup kempen liga.

Mereka memulakan pesta gol dengan terikat 3-3 menentang UiTM FC yang menyaksikan mereka mendahului 2-0 pada babak pertama, disusuli kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan yang sudahpun tersingkir ke Liga Perdana, PDRM serta kemenangan 6-1 ke atas FELDA United, Sabtu lalu.