Selangor Bakal Mangsa Kedua

KUALA TERENGGANU: Selepas memperagakan kebangkitan luar biasa ketika menumbangkan Kedah minggu lalu, pemain TFC kian bersemangat memburu kemenangan kedua pada pentas Liga Super musim ini.

Pertemuan dengan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok menjanjikan saingan sengit dan sudah pasti skuad kendalian Nafuzi Zain mahu terus ‘mengganas’ di laman sendiri apatah lagi bakal disaksikan ribuan penyokong fanatik mereka.

Pemain tengah meningkat naik TFC, Azalinullah Mohd Alias yang memperagakan aksi cemerlang ketika dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika bertemu Kedah, mengakui dia dan rakan sepasukannya begitu bersemangat untuk memburu kemenangan kedua.

Bekas pemain PJ Rangers kelahiran Terengganu itu yang begitu teruja diturunkan turut berharap mampu menyajikan aksi terbaik sekiranya sekali lagi disenaraikan dalam pasukan menentang The Red Giants. 

“Doakan kami terus dapat beraksi dengan baik demi pasukan bagi membolehkan TFC meraih kemenangan kedua meskipun sedar lawan mempunyai pemain berkualiti termasuk tonggak import mereka, nama Selangor itu sendiri sudah cukup besar dalam arena bola sepak negara. 

“Namun jika diberi peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama, saya akan cuba sedaya upaya untuk mempamerkan aksi terbaik lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri, sudah tentu peminat mahu menyaksikan tiga mata berjaya diraih,” kata Azalinullah.

Pada aksi malam esok, TFC sudah pasti terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utamanya, Rahadiazli Rahalim selepas pemain kelahiran Setiu itu mengalami kecederaan bahu ketika bertembung dengan pemain pertahanan pasukannya sendiri, Babacar Diallo dalam usaha menyelamatkan bola daripada pemain Kedah.

Penjaga gol itu terpaksa diusung keluar pada pertengahan babak kedua dan digantikan dengan penjaga gol simpanan, Mohd Ilham Amirullah Razali yang turut beraksi cemerlang menghalang pintu golnya daripada dibolosi peny3rang lawan yang diketuai bekas pemain TFC, Kipre Tchetche di samping Kpah Sherman.

Ketiadaan penjaga gol berusia 19 tahun itu tidak begitu membimbangkan skuad Penyu kerana mempunyai dua lagi penjaga gol berpengalaman yang mampu memikul tugas berkenaan termasuk Ilham Amirullah dan Syamirza Yusof yang juga bekas penjaga gol skuad Harimau Muda dan skuad remaja negara.