Sekarang sudah tahu niat sebenar Dr Mahathir

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau sering percaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.

“Itu benar. Sekarang kita tahu. Pada masa itu kita tidak tahu. (Kita sangka dia adalah) orang yang terhormat. Kamu berikan komitmen secara terbuka, kita percaya kamu.

“Entah bagaimana, dia kata ‘tidak, tidak, tidak… bukan itu yang saya maksudkan. Kamu (harus) buktikan (sokongan majoriti) sendiri’,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu pada wawancara Sin Chew Daily yang disiarkan hari ini.

Pada wawancara itu, Anwar mendakwa Dr Mahathir juga sedar sepenuhnya rancangan pemimpin Bersatu untuk menarik diri daripada Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan baharu, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Presiden PKR itu juga mengatakan perkara itu terbukti daripada rakaman audio mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bocor.

Anwar berkata, walaupun sekarang telah mengetahui hasrat dan niat sebenar Dr Mahathir, beliau masih terbuka untuk bekerjasama namun tidak akan menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri lagi.

“Memaafkan adalah suatu yang mulia. Inilah yang pernah dikatakan oleh Confucius dan sesuai dengan ajaran Islam,” kata Anwar.

sumber: SH

Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memilih Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri, Anwar mengatakan bahawa beliau percaya naratif itu tidak benar.

“Itu versi Dr Mahathir. Saya percaya Guan Eng,” katanya.