Sehingga Kini Belum Ada Kata Putus

Hasrat bekas peny3rang skuad bawah 22 tahun negara (B-22), N Thanabalan untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dilihat samar apabila sehingga kini belum ada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Situasi itu jelas membuatkan pemain berusia 26 tahun itu berada dalam keadaan tidak menentu dan ‘termenung’ ketika rakan yang lain sudah mengikuti sesi latihan bersama pasukan masing-masing, biarpun sedikit terjejas akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini terdapat tiga pasukan dari Liga Perdana berhubung dan menyatakan minat mereka secara lisan, namun sehingga kini belum ada kata putus.

“Saya masih tercari-cari pasukan baharu kerana hati masih kuat ingin terus beraksi dalam saingan Liga M,” kata Thanabalan.Disyorkan Untuk Anda

Pemain kelahiran Rantau, Negeri Sembilan itu berkata, dia masih mampu memberikan persembahan terbaik sekiranya diberi peluang, malah akui bebas daripada sebarang kecederaan selain masih mengekalkan tahap kecergasan terbaik.

“Saya beri jaminan untuk mempamerkan persembahan terbaik sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih.

“Malah, pengalaman berlatih dengan banyak jurulatih termasuk di bawah Pengarah Teknikal FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Datuk Ong Kim Swee, banyak memberikan impak kepada tahap prestasi saya,” katanya.

Menurut Thanabalan, walaupun tempoh pendaftaran bermain untuk saingan Liga M hampir ke penghujungnya, namun dia amat berharap agar ada sinar buatnya untuk meneruskan kerjayanya musim ini.

Thanabalan antara pemain berbakat yang berjaya dilahirkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila memulakan kerjaya pada 2013 bersama Negeri Sembilan.

Dia kemudian dipinjamkan kepada FELCRA FC bagi mengharungi saingan Liga FAM 2017 dan membantu pasukan berkenaan meraih naib juara sebelum sertai Kedah dan Perak II musim lalu.