“Saya Terkejut Apabila Pesanan Pertama Membabitkan 400 Kilogram“

MELAKA: Penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat kini aktif menjalankan perniagaan gula Melaka selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) digantung susulan COVID-19.

Menurutnya, dia mula menjalankan perniagaan itu sejak beberapa hari lalu dan tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei.

Khairul Fahmi yang lebih mesra disapa Apek berkata, dia mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan itu selepas selesai menjalani latihan di rumah.

“Selepas berfikir mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mengisi masa terluang dan dalam masa sama menjana pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya saya mendapat idea memasarkan gula Melaka kepada orang ramai menerusi dalam talian di seluruh negara.

“Saya terkejut apabila pesanan pertama membabitkan 400 kilogram daripada peminat dan penggemar gula Melaka. Saya menjualnya dengan harga RM23 sekilogram sahaja termasuk penghantaran,” kata bekas kapten dan penjaga gol kebangsaan itu.

Berikutan itu, dia terus aktif mengambil pesanan dan penghantaran menerusi pos laju sekali gus memudahkan ia sampai terus kepada pelanggan.

Justeru, ia kini menjadi rutin buatnya menyediakan bungkusan untuk penghantaran yang membabitkan pesanan di luar Melaka.

“Saya juga masih menjalani latihan harian di rumah seperti yang diatur jurulatih bagi mengekalkan kecergasan walaupun sudah lama tidak turun ke padang sepanjang PKP,” katanya.

Katanya, dia berharap PKP yang berakhir 28 April ini tidak disambung lagi bagi membolehkannya Liga M kembali bersambung.