‘Saya tak sengaja tapi itu bukan alasan’

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir memberi penjelasan lanjut berkenaan insiden tidak bersalaman dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketika ditanya pemberita, beliau berkata ia atas sebab yang tidak disengajakan.

“Tuanku Sultan (Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) sudah ke depan dan acara bacaan doa akan bermula, jadi saya nak cepat ke sana.

“Tetapi nampak Yang di-Pertuan Agong (di situ) jadi saya (berhenti untuk) bersalaman untuk ucap takziah….” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik laman Facebook Mukhriz Mahathir FC, semalam.

Bagaimanapun Mukhriz menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan dan beliau sepatutnya berhenti untuk bersalaman dengan Sultan Ibrahim.

“Ya tidak sengaja tetapi tak boleh gunakan (sebagai) alasan.

“Hari ini (semalam) saya mengutuskan sepucuk surat untuk memohon maaf atas kekhilafan saya… Dan saya harap baginda dapat menerima permohonan maaf saya itu,” katanya lagi.

Insiden itu berlaku ketika Mukhriz memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 23 Mei lalu.

Rakaman videonya insiden itu dimuat naik akaun Twitter Friends of Johor dan dikongsi Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Walaupun tidak bersalaman, Mukhriz bagaimanapun memberikan isyarat sembah kepada Sultan Ibrahim.

Semalam setiausaha akhbarnya dalam kenyataan memaklumkan beliau telah mengutus surat permohonan maaf di atas “kekhilafan dan kealpaan” itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *