‘Saya tak akan basuh baju Ronaldo’

PARIS: Bintang Perancis Eduardo Camavinga berkata dia tidak akan membasuh jersi Cristiano Ronaldo yang diberikan kepadanya selepas keputusan seri 0-0 menentang Portugal.

Pemain Rennes itu, yang mula menarik perhatian kelab-kelab elit Eropah, tidak beraksi ketika keputusan seri berkenaan.

Bagaimanapun Camavinga berjaya menarik perhatian pemenang lima kali Ballon d’Or itu yang memberikan jersinya selepas perlawanan.

Dalam aksi sebelumnya, pemain 17 tahun itu menjaringkan gol menarik ketika Perancis membelasah Ukraine 7-1.

Selepas keputusan seri menentang juara Euro 2016 itu, Camavinga memuat naik gambar jersi Ronaldo dan menulis: “Saya tidak akan membasuhnya.”

Camavinga sebelum ini lantang menyuarakan hasratnya bermain untuk Real Madrid selepas menjadikan bintang Portugal itu sebagai idolanya ketika Ronaldo di Bernabeu.

Manchester United juga berminat mendapatkan khidmat Camavinga dengan pengendalinya Ole Gunnar Solskjaer sedang mencari pengganti Paul Pogba. – AGENSI