Saya tak ada masalah

N. Thanabalan sanggup berhijrah ke Perak II secara pinjaman daripada Kedah musim ini bagi meningkatkan semula prestasinya selepas menghadapi musim yang mencabar pada musim lepas.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui beliau sukar untuk menembusi kesebelasan utama apabila hanya menjaringkan satu dalam 17 penampilan bersama Kedah pada musim lepas.

“Sukar untuk masuk kesebelasan utama. Ia lebih sukar bila kena bersaing dengan import yang berpengalaman dan memiliki kelebihan fizikal, akhirnya peluang bermain menjadi terlalu terhad untuk buktikan keupayaan diri,” katanya kepada The Star.

“Saya tak salahkan jurulatih atau pihak pengurusan sebab mereka tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain tempatan dan kalah dalam perlawanan. Ini masalah yang dihadapi pasukan dalam liga. Tak nampak pemain tempatan bermain sebagai peny3rang dalam liga Malaysia, liga kita didominasi oleh peny3rang import.”

Thanabalan bagaimanapun tetap menerima situasinya dengan hati terbuka dan kekal positif walaupun terpaksa bermain di Liga Perdana.

“Saya tak ada masalah bermain di Liga Perdana, sebelum ini pun saya pernah bermain di Liga Perdana dengan Negeri Sembilan dan liga yang lebih rendah ketika bersama Felcra.

“Semuanya bergantung kepada prestasi, saya yakin dengan keupayaan diri, saya cuma perlu tingkatkan kembali prestasi. Saya mahu balas kepercayaan jurulatih Abu Bakar Fadzim dengan aksi terbaik.”