“Saya Sampai Sekarang Masih Sakit Hati”

Pemain naturalisasi skuad kebangsaan Indonesia, Diego Michiels dalam satu temubual mengakui hatinya masih lagi sakit mengingatkan kenangan ketika gagal raih pingat emas Sukan SEA 2011.

Indonesia ketika itu tewas melalui penentuan sepakan penalti 4-5 kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di perlawanan akhir Sukan SEA 2011 sekaligus mengecewakan puluhan ribu penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno.

Walaupun 9 tahun tragedi itu sudah berlalu, Michiels sehingga kini masih tidak dapat melupakan kekalahan itu yang dianggapnya sebagai kenangan paling pahit dalam hidupnya.

“Saya pusing setelah kalah penentuan sepakan penalti dan lawan Malaysia ketika itu. Masih lagi sakit hati.  Saya sampai sekarang kadang-kadang masih fikir kekalahan itu,” katanya dipetik dalam portal bola sepak Indonesia, BolaSport.com 

Malah, beliau juga sempat menonton semula perlawanan itu melalui laman YouTube dan berharap perlawanan itu dapat berlangsung semula jika ada peluang.

“Kadang-kadang juga masih menonton di YouTube perlawanan itu. Kalau boleh diulang semula, saya pasti mahu menang,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau dan rakan sepasukan tidak menyesal dengan kekalahan itu kerana mereka sudah melakukan yang terbaik sejak di awal perlawanan dan ternyata rezeki berpihak kepada Malaysia.

“Tetapi, kenangannya luar biasa juga. Kami buat persiapan selama beberapa bulan bersama pasukan, satu pasukan yang kompak dan para pemainnya semua bagus.

“Sebelum main di final, ada kala saya percaya kami boleh jadi juara, tetapi mungkin belum ada rezeki,” jelasnya.

Indonesia ketika itu dibimbing oleh bekas pengendali T-Team FC, Rahmad Darmawan. Mereka dibarisi oleh barisan pemain muda yang terbaik termasuk peny3rang berb!sa dari kepulauan papua, Titus Bonai.

Pada aksi penuh dramatik itu, kedua pasukan cuba bangkit pada masa tambahan dengan melakukan ser@ngan berb@haya, namun kedudukan seri 1-1 yang dicipta pada separuh masa pertama sukar diubah.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar menjadi penyelamat dengan menjaringkan sepakan akhir setelah tendangan pemain Indonesia yang juga bekas pemain Kelantan, Ferdinand Sinaga dapat diselamatkan oleh penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.