Saya Berhasrat Ingin Pulang Ke Sana Jika Tiada Halangan

KUALA LUMPUR: Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak tetap memantau perkembangan pemainnya walaupun ketika ini berada bersama keluarga di Singapura.

Menurut Aidil dia akan membuat panggilan video bersama pemain Helang Merah sebanyak empat hari seminggu dan selebihnya adalah masa bersama barisan kejurulatihan lain dalam merangka latihan untuk pasukan.

“Setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat saya dan pemain akan membuat panggilan video untuk berbincang mengenai latihan bersama mereka.

“Seterusnya, saya juga sentiasa berhubung dengan barisan kejurulatihan lain untuk kami buat pelan A dan B untuk pasukan.

“Jika semuanya akan pulih dalam waktu terdekat ini, kami akan bersama pasukan kembali untuk berlatih dan sudah pasti apa yang diperlukan adalah aksi persahabatan sebelum liga kembali bermula.

“Tetapi, jika ia berlanjutan lagi ke satu tempoh yang belum pasti, pelan B adalah untuk kami menambah sesi latihan pemain dengan lebih kerap kerana kecergasan mereka begitu penting ketika ini,” katanya.

Selain itu, Aidil menyifatkan keselamatan keluarga adalah keutamaannya ketika ini apabila Singapura melanjutkan langkah memutuskan rantaian COVID-19 sehingga 1 Jun ini.

“Ketika ini semestinya masa saya bersama keluarga amat penting untuk kami menjaga kesihatan diri di rumah kerana risau juga dengan keadaan sekeliling sekarang.

sumber: BH

“Namun, sekiranya tempoh kawalan pergerakan di Malaysia berakhir lebih awal, saya berhasrat ingin pulang ke sana jika tiada halangan dan kita tengok dulu macam mana keadaannya.

“Dekat sini sebenarnya bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya kerana kami masih boleh keluar tetapi hanya atas urusan penting seperti membeli barangan dapur dan sebagainya,” katanya.