Satu Lagi Pasukan Bakal Tarik Diri Dari Liga Malaysia

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menerima apa-apa makluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkenaan penarikan diri pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya hanya mengetahui hasrat FAS untuk menarik diri daripada laporan media Sarawak semalam.

Saya pun ada terbaca (hasrat FAS tarik diri) melalui berita yang dibuat oleh media Sarawak mengenai hal itu.

Tapi kami di FAM tak terima pun apa-apa surat atau makluman secara rasmi daripada mereka. Jadi saya tak boleh ulas lebih lanjut, cuma setakat ini kita tak terima apa-apa yang rasmi.

Namun FAM akan memantau perkara ini dan cuba dapatkan gambaran sebenar situasi di sana, katanya ketika dihubungi.

Menerusi beberapa laporan media Sarawak sejak semalam, difahamkan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais meluahkan hasrat untuk menarik diri daripada terus bersaing dalam kancah Liga M musim depan.

Tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun jelas Posa, pihaknya sedar pendekatan dilakukan itu bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran FAM ketika ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pengganti Sarawak United dalam saingan Liga Perdana musim depan, Stuart menegaskan ia adalah tanggungjawab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memutuskan perjalanan liga tempatan.