Sathia masih laku di pasaran Liga Malaysia

Walaupun sudah menginjak ke usia 62 tahun, B Sathiananthan belum terfikir untuk bersara dalam saingan bola sepak profesional.

Sebaliknya, beliau masih laku sehingga menerima beberapa tawaran dari pasukan Liga Malaysia untuk saingan musim depan, walaupun dipecat oleh Selangor bulan lalu.

Beliau merasakan beliau masih boleh berbakti dalam arena bola sepak tempatan, walaupun sering kali dikr!tik peminat yang menganggap taktikalnya ketinggalan zaman.

“Saya tidak patah semangat sama sekali,” katanya kepada Bernama.

“Perkara ini sudah biasa bagi saya. Saya bawa Kelantan muncul naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia…bawa ATM muncul juara Liga Premier dan mara ke final Piala Malaysia, dan juara Liga Premier ketika bersama Felda United. Saya ada rekod pencapaian.

“Tidak ramai jurulatih yang ada pencapaian macam saya. Selagi saya boleh berfikir dengan waras, selagi fizikal saya masih cergas saya tidak nampak mengapa saya kena bersara.”

Sathia bagaimanapun enggan membuat keputusan terburu-buru untuk memilih pasukan baharu kerana beliau mahu mengendalikan sebuah pasukan yang mempunyai sasaran yang realistik.

“Sesebuah pasukan perlu ada perancangan rapi dan realistik, barulah seseorang jurulatih yang dilantik itu akan berasa yakin. Sepatutnya pasukan ada perancangan keseluruhan untuk menyaingi JDT dalam masa dua hingga tiga tahun, bukannya dalam tahun pertama sudah sasar menjadi juara.

“Jika diberi sedikit lebih masa, ia akan lebih adil kepada jurulatih untuk membentuk sesebuah pasukan yang mantap.”