Keputusan Perbicaraan Jen@yah Najib Razak

Keputusan perbicaraan jen@yah Najib Razak terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB akan disampaikan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penyokong Najib sudah dilihat berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding ini.

RM42 juta tak dipulangkan: Najib tak bertindak, kata hakim

11.25 pagi: Mohd Nazlan berkata tertuduh tidak bertindak dalam isu pengembalian dana SRC sebanyak RM42 juta atas alasan siasatan masih berjalan.

Hakim berkata tertuduh dimaklumkan bahawa dana itu daripada SRC dan sebagai menteri kewangan beliau ialah pemilik syarikat itu daripada aspek undang-undang.

Tertuduh berhubung dengan Jhow Low

11.15 pagi: Hakim berkata tertuduh tahu berkaitan transaksi wang ke dalam akaun di AmBank Islamic tetapi tidak mendedahkannya.

Berkaitan akaun bank, hakim berkata Jho Low dan ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias saling berhubung dengan tertuduh.

Hakim: Najib dan SRC tak ambil tindakan undang-undang pada Ambank Islamic

11.10 pagi: Saksi berkata SRC dan tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap AmBank Islamic.

“Tanpa bantahan, tidak terdapat sebarang tanda-tanda (salah laku),” kata hakim.

Hakim: Pasukan pembelaan gagal bangkitkan keraguan munasabah

10.59 pagi: Hakim berkata pasukan pembelaan gagal menolak anggapan berdasarkan Akta SPRM 2009 berkaitan imbangan kebarangkalian dan gagal membangkitkan keraguan munasabah bawah Section 23(1) akta itu.

10.45 pagi: Hakim berkata bukti-bukti menunjukkan tertuduh tidak memulakan usaha mendapatkan kembali dana SRC daripada Switzerland, walaupun berkata akan ditangani secara kerajaan kepada kerajaan.

Hakim: Pinjaman KWAP pada SRC diluluskan dengan ‘tergesa-gesa’

10.30 pagi: Hakim berkata tiada pertikaian bahawa kabinet meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM2 bilion kepada SRC International secara “tergesa-gesa”.

Hakim berkata permohonan Najib, ketika itu menteri kewangan yang bertanggungjawab terhadap KWAP, disampaikan kepada panel pelaburan badan itu.

Tertuduh terlibat dalam penubuhan SRC

10.20 pagi: Hakim berkata tertuduh terlibat dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd.

Keputusan mula disampaikan

10.18 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mula menyampaikan keputusan dalam kes SRC bernilai RM42 juta terhadap Najib.

10.17 pagi: Prosiding bermula.

Periksa suhu badan

10.11 pagi: Berdepan dengan kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perkarangan Masjid Wilayah, dilihat lima khemah dipasang bagi penyokong semua berehat.

Makanan dan minuman juga disediakan dan penyokong juga dikehendaki memeriksa suhu badan dan mendaftarkan diri.

Penyokong yang ditugaskan memeriksa suhu badan penyokong dan memeriksa sekiranya terdapat gejala tidak sihat.

Selain itu, turut berada dalam perkarangan Masjid Wilayah merupakan YDP PAS Kawasan Pekan Abu Kassim Manap bersama beberapa ahli PAS lain.

Ditanya berkenaan keputusan Najib, beliau berharap keputusan bekas perdana menteri itu tidak dicampur oleh politik.

“Saya harapkan kemenangan yang adil, tiada campur tangan. Saya yakin Bossku (Najib) akan baik baik sahaja. Insya-Allah,” katanya lagi. 

Najib masuk ke mahkamah

9.58 pagi: Najib masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di barisan depan tempat duduk awam.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi duduk di sebelahnya.


9:50 pagi: Pemimpin akar umbi lantang Umno Jamal Md Yunos memberitahu media bahawa keputusan hari ini akan memberi kesan kepada kerajaan PN secara keseluruhan.

“Kes ini bukan hanya mengadili Najib Razak, tapi juga mengadili PN,” katanya.

Laungan ‘Bossku’ sambut Najib di mahkamah

Keadaan agak sesak kerana ramai dilihat ingin bergambar dengan bekas perdana menteri itu.

Najib yang memakai sut coklat dan pelitup muka kemudian diiringi dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memasuki Mahkamah itu. 

Ahmad Maslan: Kebenaran akan ditegakkan

9.05 pagi: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyatakan harapannya agar bekas perdana menteri, Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas semua tuduhan, hari ini.

“Saya harap kebenaran akan ditegakkan, dan beliau akan dibebaskan oleh mahkamah hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ahmad, yang ditemani oleh sekumpulan penyokong Najib, menunggu pengerusi majlis penasihat BN itu tiba untuk mendengar keputusan kes.

Ahmad juga membaca puisi yang ditujukan kepada kerajaan sekarang dan pemerintahan Pakatan Harapan sebelumnya, dengan membawa mesej agar mereka tidak menyalahgunakan sistem.

Banyak bas dari Pekan, Pahang

8.48 pagi: Cuaca baik. Penyokong Najib membanjiri Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan terhadap bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu.

Ada daripada mereka yang hadir sejak semalam lagi.

Seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Norazihan, 58, berkata dia dan suaminya telah menaiki bas pada jam 11 malam daripada Pekan, Pahang.

sumber: MK

Pagi ini, katanya, mereka telah menunggu di mahkamah sejak pukul 6 pagi.

Katanya, sebanyak enam buah bas bertolak daripada Pekan malam tadi.

Laungan “Bossku” kedengaran dilaungkan di mahkamah.

Rata-rata mereka memakai pelitup muka tetapi kurang menjaga penjarakan sosial.