Sah Ke JDT Bukan Selangor

Ternyata spekulasi bahawa Police Tero FC sekadar tempat persinggahan Mohamadou Sumareh adalah benar apabila pemain itu sah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara itu disahkan kelab itu menerusi Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers, sebentar tadi.

“Pemandu sila bawa saya ke kelab terbaik di Malaysia,” kata Sumareh dalam video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman media sosial tersebut.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam rancangan BOLA@MAMAK bersama sebuah stesen televisyen swasta, bulan lalu telah memberi bayangan akan membawa Sumareh menyertai Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut.

Kata Tunku Ismail, beliau akan berbincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah jika Sumareh mahu kembali ke Liga Malaysia dan menyertai skuad Harimau Selatan.

Selepas berpisah dengan Pahang ekoran masalah gaji, Sumareh menyertai kelab Thailand itu selama tiga bulan sebelum kembali ke negara.

Namun, sepanjang perpisahan dengan skuad Tok Gajah, beberapa kontroversi timbul termasuk Selangor yang cuba memancing bintang naturalisasi negara itu.

Perkara itu didedahkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi perkongsian beberapa keping gambar berkaitan tawaran kontrak dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyaksikan Sumareh ditawarkan gaji AS$17,000 (RM70,482) sebulan tidak termasuk bonus serta elaun tambahan dalam media sosial.

Beliau turut memuat naik gambar perbualan Sumareh menerusi aplikasi Whatsapp bersama Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon yang meminta FAS menaikkan gaji kepada AS$20,000 (RM82,171) sebulan sekiranya mahu dia bersama Red Giants.