Sah Bergelar Pemain Harimau Selatan

Gergasi bola sepak tanah air, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi mengumumkan secara rasmi kehadiran pemain kelahiran Argentina, Jonathan Herrera dalam memantapkan jentera ser@ngan kelab tersebut bagi menghadapi Liga Malaysia 2021.

Berusia 30 tahun pada 16 September nanti, Herrera hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan reputasi selaku penjaring terbanyak saingan Primera B Nacional ketika menyarung jersi Deportivo Riestra.

Lebih 100 gol yang telah dihasilkannya sepanjang tujuh musim bersama kelab lamanya itu sudah cukup untuk memperlihatkan kualiti hebat dimiliki serta ketajaman penyudahkan di hadapan pintu gol pasukan lawan.

Satu perkara yang secara tidak langsung mampu untuk menggentarkan lawan yang dihadapi dalam saingan Liga Malaysia musim ini, tambahan pula keupayaan skuad Harimau Selatan itu sememangnya tidak perlu lagi untuk dipertikaikan.

Sudah pasti sumbangan Herrera yang bakal menggunakan jersi bernombor sembilan itu amat ditagih dalam menjadi peledak berbisa buat pasukan dan diharapkan mampu untuk mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang sebelum ini, Diogo Luis Santo.

Satu video pengenalan pemain telah dimuatnaik oleh laman Facebook rasmi kelab juara tujuh musim berturut-turut itu, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi bagi mengesahkan secara rasmi kehadiran Hererra.

Jonathan Herrera merupakan pemain ketiga yang direkrut oleh JDT pada musim ini selepas Muhammad Danial Amier Norhisham dan Syahrian Abimanyu dari Indonesia.

Syahrian kemudiannya dipinjamkan ke kelab A-League, Newcastle Jets bersama-sama pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi.

Dalam perkembangan sama berikutan pemberian jersi nombor sembilan buat Herrera, peny3rang tempatan, Ahmad Hazwan Bakri yang sebelum ini memakai nombor tersebut akan beralih ke nombor 18.