Safawi terkejut rakan jadi ‘mu suh’

Kuala Lumpur: Luar padang sahabat, ketika sesi latihan semuanya bertukar menjadi mu suh.

Situasi terbabit dilalui tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid apabila melihat semua pemain bertukar karakter sebaik melangkah ke venue latihan ketika kali pertama menjalani latihan bersama Portimonense SC.

Mengakui situasi berkenaan agak berlainan ketika menjalani latihan bersama Johor Darul Ta’zim(JDT) Safawi berkata, dia perlu menyesuaikan diri dengan cepat corak latihan agak berbeza bersama kelab terkininya itu terutama memahami setiap arahan diberikan barisan kejurulatihan.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama cukup sengit dengan hanya pemain yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan akan disenaraikan jurulatih.

Safawi berkata, ketika ini, tumpuannya hanya perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran latihan dan fokus utama untuk memenangi hati jurulatih supaya disenaraikan dalam pasukan utama.

”Sebelum latihan, kami boleh bergurau dan gelak bersama namun sebaik melangkah ke padang boleh diibaratkan tidak mengenali antara satu sama lain.

”Apa yang boleh saya katakan, tiada istilah budak emas atau istimewa kerana semuanya sama saja dengan matlamat untuk dipilih mengisi kesebelasan utama.

”Jika kita lemah atau gagal menunjukkan prestasi diinginkan, jangan mimpi untuk bermain bersama skuad utama,”katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Safawi berkata, perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun Sporting CP adalah pengalaman berharga walaupun beraksi dibawah prestasi sebenar.

”Mereka bermain cukup laju dengan fizikal yang agak besar namun itu adalah pengalaman bagus untuk saya memahami corak permainan pemain Eropah.

”Walaupun mengalami sedikit kecederaan, situasi terbabit tidaklah membimbangkan kerana akan pulih dalam tempoh terdekat ini,” katanya yang mengakui rakan sepasukan banyak membantu sebaik tiba ke kelab terbabit.

Untuk rekod, Safawi muncul pemain kedua negara yang beraksi di liga utama Eropah selepas peny3rang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai KV Kortrijk di Belgium, Ogos lalu.

Safawi, 23, berhijrah secara pinjaman selama semusim dengan kelab utama Portugal itu dan akan kemungkinan ditawarkan kontrak sambungan jika prestasinya berjaya memikat barisan jurulatih.