Safawi sah tinggalkan Portimonense SC

Karier tonggak Malaysia, Safawi Rasid bersama Portimonense SC tidak panjang apabila sudah ada tanda dia akan meninggalkan kelab berkenaan dalam masa terdekat ini.

Bayangan itu dapat dilihat menerusi Instastory @Portimonense1 yang memuat naik video dan gambar Safawi bersama kumpulan rakan sepasukannya di kelab Portugal itu.

Selain gambar, Instastory itu juga menulis: “Safawi…kita adalah satu keluarga…kami mendoakan yang terbaik untuk anda…Terima kasih Johor yang istimewa.”

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi perkara itu di Instagram miliknya beserta ucapan “terima kasih”.

Selain itu, Safawi turut berkongsi video di Instastory @Portimonense1 pada laman Instagram miliknya.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan Safawi akan kembali bersama JDT bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat Safawi membuat penampilan pertama di Liga Primeira, Portugal tidak kesampaian meskipun pemain kelahiran Dungun itu empat kali berada dalam senarai pemain simpanan.