Saat yang dinanti-nantikan penyokong tempatan akhirnya tiba

Kuala Lumpur: Saat yang dinanti-nantikan penyokong tempatan akhirnya tiba apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan senarai 50 calon bagi lima kategori Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual pada 30 Disember.

Kesemua 50 calon itu membabitkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia yang akan bersaing bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Mereka disenarai pendek oleh Jawatankuasa Saringan ABK20 Virtual selepas menilai prestasi 567 jumlah keseluruhan pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia termasuk pemain muda yang berdaftar di Piala Presiden dan Piala Belia.

Namun seramai 344 pemain sahaja memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu beraksi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2020.

Apa yang menarik ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri profesional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Konsep undian penyokong diambil kira memandangkan perlawanan musim ini terpaksa disingkatkan akibat pandemik Covid 19 dengan saingan Liga Super dan Liga Perdana berlangsung separuh pusingan, manakala Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.

Bagaimanapun pemenang bagi Anugerah Pasukan Terbaik yang turut dipertandingkan dalam ABK20 Virtual akan ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal.

Senarai 10 calon yang terpilih bagi setiap kategori ini akan dihantar kepada juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media bagi menyumbang 70 peratus kiraan mata.

Sementara baki 30 peratus kiraan mata ABK20 Virtual akan diundi oleh penyokong menerusi undian di platform Elfo bermula jam 10 pagi esok (21 Disember 2020) sehingga Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh mengundi di platform Elfo menerusi pautan yang akan MFL paparkan di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter MFL esok.

Pemenang akan dimuktamadkan daripada 70 peratus kiraan mata juri profesional dan 30 peratus kiraan mata undian peminat.

Pada majlis ABK20 Virtual itu nanti, pihak MFL turut akan menyampaikan pemenang Kasut Emas 2020 dan Penjaring Terbanyak Liga Super 2020 iaitu Ifedayo Omosuyi yang meledak 12 Gol bersama Selangor.

Shahrel Fikri yang mengumpul 10 gol bersama Perak akan menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2020 manakala penyerang Pulau Pinang Casagrande yang menghasilkan 9 gol dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2020.

Turut mencuri perhatian, penyerang muda Selangor 2 Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana 2020 dengan ledakan 7 gol.