Ronaldo kagum dengan JDT

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo kagum dengan struktur dan projek masa depan dimiliki Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ronaldo yang juga bekas pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali berkata demikian dalam kenyataan ringkas di laman Instagram miliknya yang turut disertakan gambarnya bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kenyataan diluahkan bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid itu dibuat selepas mengadakan lawatan ke JDT, Selasa lalu.

“Kembali ke Madrid selepas dua hari yang sangat sibuk di Johor. Terima kasih Tunku Ismail. Ia satu perkara yang menggembirakan mengenali JDT yang bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Mengetahui struktur kelab yang hebat dan mengenai projek mereka miliki untuk masa depan. Harap dapat kembali lagi (ke JDT) selepas ini!,” jelas Ronaldo.

Selain dibawa melawat fasiliti latihan JDT di Padang Seri Gelam, Ronaldo turut menyaksikan perlawanan Harimau Selatan dalam saingan ACL berdepan Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Apa yang pasti kehadiran Ronaldo yang pernah menjulang Piala Dunia sebanyak dua kali menjadi sejarah baharu buat JDT yang jelas menjadi pasukan paling digeruni dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Kehebatan JDT terbukti selepas pelbagai sejarah dicipta mereka termasuk muncul pasukan pertama dari Asia Tenggara memenangi Piala AFC selain mempertahankan kejuaraan Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *