Ronaldo, Dybala tebus kecewa Juve

MILAN: Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala menebus kekecewaan Juventus di final Piala Itali dengan kemenangan 2-0 ke atas Bologna untuk melebarkan jurang di puncak Serie A.

Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika separuh akhir Piala Itali menentang AC Milan, dan kemarau gol pada final di mana Juve tewas 4-2 kepada Napoli menerusi penentuan penalti.

Tetapi bintang 35 tahun Portugal itu kembali menunjukkan ketajamannya dalam aksi pertama liga sejak Juve menewaskan Inter Milan 2-0 di Turin pada 8 Mac.

Dia menyempurnakan sepakan penalti minit ke-23 untuk gol ke-26 dirinya dalam semua pertandingan bagi gergasi Turin itu.

Dybala menambah jaringan pada minit ke-36 untuk memastikan Juventus kekal di landasan terbaik memburu Scudetto kesembilan berturut-turut.

Sementara itu AC Milan yang turun tanpa Zlatan Ibrahimovic kerana kecederaan, mengatasi Lecce 4-1 dan Fiorentina seri 1-1 menentang Brescia.

“Ia kemenangan penting. Roma (di tangga kelima) masih jauh setakat ini tetapi kami perlu mengutip sebanyak mungkin mata.

“Ibra adalah tonggak penting kami, tanpanya kami perlu mencari penyelesaian lain,” kata pengendali Milan Stefano Pioli. – AFP