Ranking Terkini Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Malaysia akhirnya menunjukkan perkembangan paling positif apabila melonjak sembilan anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-159 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi kemaskini ranking FIFA yang diumumkan sebentar tadi, anak buah Tan Cheng Hoe itu muncul sebagai pasukan paling banyak meningkat bagi pasukan zon Asia selepas menghuni kedudukan ke-168 sebelum ini.

Pencapaian terbabit dilihat berpunca daripada kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada aksi persahabatan sebelum kejayaan menewaskan Timor Leste 12-2 secara agregat pada aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 tempoh hari.

Menariknya juga menerusi peningkatan ini, Malaysia turut melepasi angka 1,000 dalam pungutan mata apabila menghimpun 1,009 mata, bertambah sebanyak 23 berbanding 986 mata yang dipungut sebelum ini.

Malah, kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengesahkan tempat sebagai pasukan ke-32 benua Asia.

Dalam pada itu, secara keseluruhan, kemaskini ranking terbaharu menyaksikan Iran kekal selaku pasukan terbaik di Asia pada kedudukan ke-20 dunia, diikuti Jepun yang jatuh dua anak tangga (ke-28), Korea Selatan (ke-37) dan Australia yang turut jatuh dua anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-43 dunia.

Bagi kedudukan Asia Tenggara, Vietnam mendaki dua anak tangga bagi kedudukan ke-96 dunia, diikuti Thailand yang jatuh dua anak tangga (116), Filipina (126) dan Myanmar (138).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *