Ramal tempoh moratorium dilanjutkan hingga hujung tahun

SHAH ALAM – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka membuat keputusan melanjutkan tempoh moratorium daripada tempoh akhir September ini kepada hujung tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Co-op Bank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak berkata, keputusan itu bagaimanapun dijangka diumumkan BNM pada penghujung Ogos depan susulan mendapat maklum balas daripada Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM).

Menurutnya, harapan rakyat negara ini melihat tempoh moratorium dilanjutkan kerajaan dilihat positif susulan BNM turut dijangka akan menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) peratus melalui satu mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, esok.

“Kadar OPR yang dicatatkan ketika ini ialah dua peratus sedangkan negara jiran termasuk Singapura dan Thailand telah menurunkan kadar OPR di bawah 2 peratus ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Nor berkata, beliau secara peribadi bersetuju sekiranya inisiatif melanjutkan tempoh moratorium dilaksanakan kepada peminjam bank bersasar berdasarkan indikator kedudukan ekonomi negara yang berada di dalam fasa pemulihan.

“Paling penting ketika ini ialah sebaranga keputusan yang dibuat perlu seimbang dengan keperluan aliran tunai industri kewangan dalam negara,” katanya.

Mohd Nor berkata, walaupun bank di negara ini masih mempunyai keupayaan untuk melaksanakan inisiatif itu susulan langkah BNM untuk mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebelum ini menyaksikan rizab kecairan mudah tunai dimasukkan kembali ke dalam pasaran kewangan negara dalam lingkungan nilai RM30 bilion, kajian perlu diadakan secara mendalam bagi mengenal pasti impak lanjutan moratorium dalam tempoh jangka panjang.

“Pengurangan SRR sebahagian daripada langkah taktikal bank pusat untuk menyokong momentum pertumbuhan sejajar dengan daya saing pasaran.

“Ia bertujuan menyediakan mudah tunai tambahan kepada sistem kewangan supaya industri perbankan mempunyai lebih banyak kecairan untuk dimanfaatkan kerana penyimpanan dana seperti SRR tidak memberi sebarang pulangan kepada mereka.

“Berdasarkan perkembangan semasa, CBP juga sedang melaksanakan kajian bagi melanjutkan moratorium ini,” katanya.

Mohd Nor berkata, sebarang pelanjutan sudah tentu tertumpu kepada kelompok pelanggan yang disasarkan.
sumber: SH