ramai lagi bakal menyusul dalam ‘ops bersih’ KAFA

Khidmat Jorg Steinbrunner sebagai Pengarah Teknikal ditamatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta merta, menyusuli nasib yang dialami ketua jurulatih Marko Kraljevic yang telah ditamatkan khidmatnya lebih awal pada minggu lalu.

Keputusan itu dibuat hanya dua hari selepas Steinbrunner meluahkan rasa kecewa terhadap individu dalam pengurusan yang menurutnya ibarat ‘lebih sudu dari kuah’ kerana suka mengkritik pemain secara terbuka selain suka masuk campur dalam urusan jurulatih.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bagaimanapun berkata bukan itu punca khidmat Steinbrunner ditamatkan sebaliknya kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama disebabkan masalah kewangan dihadapi KAFA.

“Tindakan ini diambil kerana KAFA tidak mahu terus terpalit dengan kewangan pada masa akan datang. Saya beritahu Steinbrunner, KRW Sdn Bhd tidak bayar gajinya. Jadi saya ambil tanggungjawab bayar gajinya dan dia faham masalah Kelantan malah turut memotong (mrnghalalkan) tunggakan gajinya,” kata Bibi Ramjani kepada media.

‘Ops Bersih’ di kem Kelantan yang disebabkan masalah kewangan ini dijangka tidak berhenti hanya dengan penamatan kontrak Marko dan Steinbrunner, memandangkan masa depan beberapa pemain seperti Cassio Francisco dan Flavio Beck Junior juga sudah mula diperkatakan.

SUMBER: foxsports

Bibi Ramjani mengakui KAFA juga telah menawarkan penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Flavio dan masih menanti jawapan pemain itu manakala nasib Cassio yang sebelum ini tersisih lama kerana kecederaan akan diputuskan jurulatih baru, Yusri Che Lah yang dilantik semula untuk mengemudi pasukan itu.

Ironinya apa yang berlaku di kem Kelantan ketika ini adalah situasi sama yang terjadi musim lalu, di mana lebih dari sedozen pemain ditamatkan kontrak pada bulan April atas alasan tiada dalam perancangan termasuklah Do Dong Hyun, Khairul Fahmi Che Mat dan Morgaro Gomis.

Nampaknya tiada apa yang berubah di kem Kelantan dalam tempoh setahun malah boleh disifatkan keadaan semakin bertambah buruk.

Sementara itu, mengenai kembalinya Yusri Che Lah, Bibi Ramjani yakin Yusri individu tepat untuk mengubah nasib pasukan itu.

“Hanya Yusri kenal dengan budak-budak (pemain) ini kerana dia sudah biasa dengan Kelantan. Jadi kita yakin dia boleh bawa perubahan cuma jangan letak semuanya di bahu Yusri semata-mata, pemain-pemain juga perlu mainkan peranan. Ia tanggungjawab bersama,” ujar Bibi Ramjani lagi.

Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Premier selepas lapan perlawanan, dengan empat mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *