‘Raja Bola’ pemain terhebat sepanjang zaman Malaysia

KUALA LUMPUR: Siapakah anak tempatan yang layak dilabel sebagai pemain terbaik di Malaysia?

Menempuh detik panjang lebih enam dekad, saingan bola sepak Malaysia membuka ‘hidup’ dengan saingan amatur sebelum transformasi membolehkan ia menginjak era profesional yang menawarkan gaji puluhan ribu ringgit.

Di sebalik itu, lumrah bola sepak dunia turut menyaksikan bola sepak negara turut berdepan pelbagai ‘turun naik’ dengan skuad negara pernah digeruni satu ketika dahulu sebelum malap namun kini mula menunjukkan kembali sinarnya.

Sebagai negara yang menjadikan bola sepak sebagai sukan nombor satu negara, tidak dapat dinafikan ramai pemain yang pernah beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dan diberi penghormatan mewakili skuad negara.

Sama ada mereka menjadi terkenal ataupun ‘hilang dari radar’, menyambung karier sebagai jurulatih ataupun terus terhenti selepas bersara – mereka ini adalah produk bola sepak Malaysia.

Tidak semua pemain bertuah kerana ada kelompok yang menjulang pelbagai trofi dan ada yang tidak pernah merasai kejuaraan namun apa yang pasti, mereka sudah memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan.

Berikut adalah senarai lima bintang yang layak dilabel pemain terbaik sepanjang zaman oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

1. Tan Sri Abdul Ghani Minhat

“Kalau sebut mengenai pemain terbaik, kita tidak boleh lari daripada memilih Abdul Ghani Minhat kerana dia mendapat gelaran ‘Raja Bola’. Saya bertuah kerana pernah melihat dia beraksi dan dia juga pernah menjadi jurulatih saya untuk kejohanan PraOlimpik sekitar 1970an. Kalau hendak disimpulkan, Ghani sememangnya seorang pemain yang berbakat dan dia boleh dianggap sebagai pemain yang memiliki kemahiran teknikal yang baik. Kelebihan dia adalah kebolehan menggelecek yang ada padanya. Walaupun dia tidak memiliki kelajuan namun kelebihan menggeleceknya membolehkan dia menjadi penyerang yang berbisa. Kalau generasi muda yang tidak sempat melihat Abdul Ghani bermain, mereka boleh tonton corak permainan Roberto Firmino di Liverpool. Bagi saya, Firmino agak mirip dengan Abdul Ghani ketika bermain.”

Datuk Mokhtar Dahari.
Datuk Mokhtar Dahari.

2. Datuk Mokhtar Dahari

“Mokhtar adalah satu lagi pemain yang dianggap bertaraf legenda dan tidak boleh diasingkan dalam sejarah bola sepak negara. Saya satu era dengan ‘Supermokh’ dan pernah menjalani latihan bersama dengannya dalam skuad kebangsaan satu ketika dahulu. Apa yang kita boleh ikut daripada Mokhtar adalah disiplinnya ketika berlatih dan kita boleh anggap dia seperti ‘bateri pasukan’ kerana sentiasa memberi semangat kepada pasukan.

Bayangkanlah ketika sesi latihan, pasti pemain kepenatan tetapi Mokhtar sentiasa memberi dorongan supaya tidak cepat berputus asa. Seperti yang kita tahu, tendangannya memang kencang dan dia boleh menggunakan kedua-dua kakinya. Lihat saja susuk tubuhnya dan bahagian pahanya, kita sudah boleh tahu kekuatan yang ada padanya sebab itulah jangan beri ruang kepada dia melakukan rembatan. Sayang sekali kerana setakat ini, saya lihat tiada lagi pemain yang berada pada kelas Mokhtar dan boleh menggantikan tempatnya.

Datuk Soh Chin Aun (kanan) bersama Mokhtar (kiri) dan R Arumugam.
Datuk Soh Chin Aun (kanan) bersama Mokhtar (kiri) dan R Arumugam.

3. Datuk Soh Chin Aun

“Sama seperti Mokhtar, saya pernah bersama Chin Aun dalam skuad kebangsaan dan dia boleh dianggap ‘Franz Beckenbauer’ Malaysia. Apa yang legenda bola sepak Jerman itu boleh buat, Chin Aun pun boleh buat dan boleh saya katakan dia memang ‘sebijik’ dengan Beckenbauer. Sebab itulah, dia dilabel antara benteng pertahanan terbaik di Asia ketika zaman kegemilangannya.

Aset terbaiknya adalah ketenangan yang dimilikinya ketika mengemudi barisan pertahanan dan boleh melakukan hantaran yang baik. Lebih mengagumkan, kebolehannya ‘membaca permainan’ dengan baik menggerunkan penyerang lawan. Berilah penyerang jenis bagaimana sekalipun sama ada penyerang luar negara atau penyerang yang pantas, pasti mereka mati akal apabila cuba menembusi kawalan Chin Aun.”

4. Datuk R Arumugam

“Penjaga gol yang tiada lagi galang gantinya dan sememangnya penjaga gol nombor satu di Malaysia. Fizikal yang ada padanya khususnya tangan yang panjang membolehkan dia mendapat julukan ‘Spiderman’ dan dia pun memang dikenali ramai dengan aksi menyelamatkan percubaan yang sukar. Berdasarkan pengalaman saya, dia agak cerewet ketika menjalani latihan. Biasalah sesi latihan memang memenatkan namun dia tetap menjalani latihan yang diberikan. Cuma kalau dia berada dalam skuad, penjaga gol lain tampak tiada peluang untuk mencabar tempatnya walaupun kita memang ramai penjaga gol yang berbakat satu ketika dahulu.”

5. Zainal Abidin Hassan

“Ini pemain yang saya pilih daripada generasi yang lebih muda sedikit daripada dua generasi terdahulu seperti empat pemain di atas. Antara penjaring terbanyak buat negara dan juga banyak pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan. Perwatakannya seorang yang ceria namun dalam bola sepak, dia ada ‘kurniaan’ yang baik kerana ada badan pemain bola sepak. Walaupun tidak memiliki kelajuan seperti Mokhtar tetapi dia seorang pemain yang ada naluri penyerang dan penyudah baik. Bukan sahaja boleh bermain sebagai penyerang tetapi boleh beraksi di bahagian pertahanan dengan baik. Seorang pemain utiliti yang memang efektif.”

Senarai Penghormatan

Dalam sama sama, meskipun Irfan memilih lima pemain ini sebagai pemain terbaik sepanjang zaman Malaysia, namun bekas pengendali Persipura Jayapura ini menegaskan ramai lagi pemain yang layak diberi pengiktirafan sebagai legenda. Untuk itu, Irfan membariskan beberapa lagi nama pemain yang dianggap sebagai antara pemain terbaik negara namun kurang dikenali penyokong khususnya generasi muda. Jelas Irfan, pemain ini juga membuktikan kualiti mereka apabila memberikan persembahan yang terbaik ketika beraksi satu masa dahulu:

1. Richard Choe

2. Robert Choe

3. Edwin Dutton

4. Stanley Gabriel

5. Shaharuddin Abdullah

6. Abdullah Nordin

7. Ng Boon Bee