‘Rahsia Terengganu Berada Dalam Poketnya’

Pernah beraksi bersama Terengganu FC selama tiga musim sejak 2017, mungkin akan membantunya dalam mencari kelemahan lawan untuk membantu Kedah merekodkan tiga mata penuh dalam aksi kedua CIMB Liga Super 2020, malam ini.

Mungkin agak retorik untuk mengatakan, ‘rahsia Terengganu berada dalam poketnya’, namun sedikit sebanyak sebenarnya, falsafah dan gaya permainan yang diterapkan oleh Nafuzi Zain dan Terengganu pernah berada di dalam permainannya.

Tambahan pula mereka akan beraksi di Stadium Darul Aman, Kipre Tchetche mahu memberi sesuatu buat para penyokong dan juga Helang Merah malam nanti.

“Sebagai pemain, saya tetap bersikap profesional dan mahu mencari ruang terbaik untuk membantu Kedah mendapatkan gol dan memburu kemenangan pertama seperti diharapkan seluruh penyokong Kedah di laman sendiri,” kata Kipre Tchetche.

“Apatah lagi kita akan beraksi di Stadium Darul Aman kali ini dan pastinya dengan sokongan padu daripada seluruh penyokong kita yang hadir akan lebih meningkatkan semangat dalam usaha mencari tiga mata penting,” tambahnya kepada Berita Harian.

Peny3rang yang telah meledak hatrik dalam saingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 ketika bertemu Tai Po FC itu turut menjangkakan aksi sengit antara kedua-dua pasukan selepas gagal mendapat mata dalam aksi pertama.

“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit memandangkan kedua-dua pasukan kini sangat mengharapkan tiga mata selepas gagal mendapatkan sebarang mata pada perlawanan sebelum ini,” jelas Kipre Tchetche mengenai aksi malam nanti.

“Namun dalam menghadapi cabaran ini, saya tetap yakin skuad Kedah akan beraksi dengan semangat serta kesungguhan yang tinggi seperti yang kita tunjukkan dalam perlawanan pertama ketika berdepan Johor Darul Ta’zim [JDT] pada Jumaat lalu.

“Memang kita tahu Terengganu memiliki barisan pemain-pemain yang bagus dengan kombinasi yang berpengalaman di segenap posisi dan ini yang perlu kita beri perhatian,” tambah peny3rang berbisa kelahiran Ivory Coast itu lagi.

Selain itu, Kipre Tchetche turut berharap yang Helang Merah pada malam ini akan bergerak dan merancang secara berpasukan dalam memburu kemenangan. Dari segi hantaran akhir dan jaringan gol, menurutnya, itu adalah tugasannya.