Potong Gaji Pemain

KUALA LUMPUR: Membuat potongan sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas gaji pemain dilihat antara langkah yang boleh diambil persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mungkin terjejas dari aspek kewangan akibat penangguhan Liga Malaysia (Liga M).

Perkara itu disuarakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang tidak menolak kemungkinan beberapa pasukan akan berdepan masalah dalam pendapatan mereka sekiranya liga terpaksa ditangguh dalam tempoh yang lama.

Mohd Sadek menjelaskan, ia kerana persatuan yang tidak memiliki simpanan kewangan kukuh atau yang bergantung terhadap kutipan jualan tiket untuk membayar gaji pemain akan terjejas akibat penangguhan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, langkah pemotongan gaji itu memerlukan perbincangan lanjut dan persetujuan antara pengurusan serta pemain kerana penangguhan akibat COVID-19 berlaku di luar jangkaan.

“Pengurusan perlu berlapang dada dan bercakap benar. Melakukan potongan 25 peratus (ke atas gaji pemain) adalah lebih baik daripada tiada gaji langsung.

“Jadi, jika keadaan memaksa, pengurusan perlu berbincang dengan pemain demi ketahanan kewangan dalam pasukan untuk menghadapi kekangan dalam bulan yang akan datang disebabkan kurangnya pendapatan yang diraih.

“Pemain mesti bersedia dengan keadaan itu, mereka berlatih tapi tidak bermain (liga). Kalau pemain tak boleh bertolak ansur, ia dibimbangi ramai yang akan kehilangan pekerjaan,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman meluahkan kerisauan mengenai pendapatan yang mereka peroleh untuk membayar gaji pemain selepas penangguhan liga bermula semalam.

Ia kerana Husin mengakui bahawa sebahagian daripada dana yang digunakan untuk membayar gaji pemain The Red Warriors (TRW) adalah daripada hasil kutipan jualan tiket.

Daripada kutipan tiket dua perlawanan sebelum ini, katanya, pihaknya dapat kutipan hampir RM200,000 dan wang itulah diguna bayar gaji pemain selain ditambah dana daripada penaja.

Husin menjelaskan pihaknya memerlukan kira-kira RM500,000 hingga RM600,000 sebulan untuk membayar gaji semua pemain.

Selain itu, Mohd Sadek menjelaskan semua pihak harus merancang sesuatu bagi menghadapi detik sukar yang di luar jangka ketika ini kesan daripada penularan COVID-19 di seluruh dunia.

“Benda ini bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia sunyi tanpa sukan kerana beberapa acara sudah ditangguh. Tidak dinafikan ia akan membabitkan kerugian kepada banyak pihak dalam industri termasuk penaja dan produk,” katanya.