Pintu rundingan sudah tertutup

KUALA LUMPUR: Penangguhan pembayaran tunggakan bekas pemain import Kelantan, Cassio Francisco de Jesus berjumlah RM629,620.28 seperti yang dimahukan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hanya boleh dilakukan atas ‘restu’ pemain itu.

Bagaimanapun, peguamnya, Zhafri Aminurashid menjelaskan pintu rundingan untuk membincangkan perkara itu sudah tertutup selepas KAFA membawa kes itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurutnya, pihaknya sebelum ini terbuka untuk berunding bagi mencari langkah penyelesaian terbaik memandangkan Cassio hanya mahu menuntut haknya sebagai pemain, namun KAFA hanya diam membisu sebelum bertindak ‘mencabar’ keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“KAFA tidak pernah meminta penangguhan, malah tidak pernah menjawab apa-apa surat kami berkaitan kes ini. Sepatutnya mereka hubungi saya sebagai peguam Cassio untuk meminta penangguhan.

“Memang kami pada mulanya tiada masalah untuk beri lebih masa tetapi selepas KAFA memfailkan rayuan kepada CAS, Cassio tidak lagi mahu berbincang dengan mereka.

“Kami akan bantah rayuan terbabit. Kami akan lawan sehabis baik dan KAFA perlu bersedia untuk bayar lebih lagi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan pihaknya sudah memfailkan rayuan untuk mengenepikan dan membatalkan keputusan FIFA membabitkan isu Casio kepada CAS.

Katanya, KAFA juga memohon penangguhan pembayaran denda sehingga keputusan rayuan diputuskan namun CAS masih belum memutuskan sama ada permohonan ini dibenarkan atau tidak.