pilihan nombor satu

ALOR SETAR : Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak tetap memilih Kedah sebagai pasukan pilihannya meskipun terdapat beberapa pasukan dari skuad Liga Super termasuk Perak yang telah membuat risikan dan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Walaupun Perak yang dikatakan mempunyai minat yang tinggi setakat ini, dua lagi pasukan dari Lembah Klang turut difahamkan sedang ‘mengintai’ ketua jurulatih skuad Lang Merah ini yang telah membawa Kedah menjuarai Piala FA dan layak ke final Piala Malaysia pada tahun lalu.

Kejayaan yang hasilkan bersama skuad Lang Merah dalam tempoh singkat iaitu selama tujuh bulan sejak awal musim tahun lalu, telah melonjak ‘saham’ serta reputasi jurulatih kelahiran Singapura ini ketahap terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

“Pengurusan pasukan Perak ada membuat pertanyaan kepada saya namun ianya cuma secara lisan dan perkara ini masih lagi diperingkat awal.

“Kedah adalah pilihan nombor satu buat saya dan walaupun Perak menunjukkan minat mereka, tetapi buat masa ini hati saya masih lagi bersama Kedah dan saya masih memiliki kontrak bersama Kedah hingga hujung musim ini.”

“Secara jujurnya dan saya kini berazam mahu memberi khidmat terbaik untuk pasukan Kedah hingga ke hujung musim ini dan saya mahu fokus membawa Kedah sekali lagi ke peringkat akhir Piala Malaysia untuk musim ini”. katanya

Berkaitan ‘risikan’ beberapa pasukan lain, Aidil juga berkata beliau sendiri tidak pasti sejauh mana minat mereka untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan dan setakat ini, sebarang rundingan belum diadakan.

“Pada saya, saya masih tetap komited dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kepada saya buat masa ini.

“Apa pun, saya mahu fokus dalam memberi khidmat terbaik dari hati saya untuk pasukan Kedah dalam membawa kejayaan buat skuad Lang Merah pada musim ini”. katanya.

Aidil memulakan khidmat bersama Kedah selepas mengikat kontrak selama dua musim sejak 2019 dengan rekod cemerlang bersama Home United FC (HUFC) dengan membawa kelab berkenaan sebagai Juara Zon Asean dan ke peringkat Separuh Akhir antara Zon dalam saingan Piala AFC, selain membawa HUFC melangkah ke peringkat akhir Liga Perdana Singapura pada 2018.