Persoalan Mula Timbul

Penafian Menteri Belia dan Sukan mengenai kos RM10 juta digunakan untuk membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencetuskan persoalan mengenai berapakah jumlah sebenar kosnya?

Malah, kenyataan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memberitahu jumlah kos RM10 juta itu turut digunakan untuk membaik pulih padang di seluruh negara bert3ntangan dengan kenyataan Pengerusi Perbadanan Stadium Merdeka (PSM), Tan Sri Tony Fernandez.

Berdasarkan laporan media Mac lalu, Tony secara jelas menyatakan kos RM10 juta diperlukan untuk menggantikan sepenuhnya padang di SNBJ.

Katanya, projek berkenaan merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput dalam usaha memastikan stadium itu memiliki padang bertaraf antarabangsa.

Tony pada ketika itu, turut menjelaskan yang projek berkenaan bermula Jun lalu dan dijangka mengambil masa untuk siap sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam tempoh sembilan bulan.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk membuat padang baharu SNBJ.

Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.

“Saya berbual dengan Menteri KBS baru-baru ini dan tanya berapa kos saya buat padang. Dia terperanjat apabila saya cerita kos padang kerana dia dapat tawaran buat padang baharu di Bukit Jalil yang sama seperti ini, RM10 juta. Banyak sangat orang nak ‘mark up’,” katanya dalam rancangan Bola@Mamak, kelmarin.

sumber:- BH

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menafikan kos membuat padang baharu di SNBJ menelan belanja RM10 juta, sebaliknya menjelaskan ia turut merangkumi kos membaikpulih padang di seluruh negara.