Perpindahan Yang Bakal Mantapkan Pasukan

Pasukan bola sepak Melaka United (MU) mengatur sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini.

Pengurus MU, Mohd Akram Abdullah berkata, justeru latihan selama empat minggu setakat ini berjalan lancar dengan fokus terarah terhadap kecergasan dan kekuatan mental pemain.

Katanya, latihan insentif membentuk kekuatan fizikal serta taktikal yang disusun ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan turut menekankan gabungan keserasian menghadapi perlawanan persahabatan kelak.

“Pada dasarnya kami sudah bersedia dengan barisan pemain yang disenaraikan, cuma menunggu kehadiran tiga pemain import baharu.

“Perlawanan-perlawanan persahabatan yang diatur mengambil kira kecergasan terbaik mereka pada minggu kelima latihan,” katanya.

Sehubungan itu, kesemua pemain akan diberi peluang bermain dalam rangka jurulatih mengenai pasti barisan kesebelasan utama dan gantian bagi menghadapi Liga Malaysia kali ini.

Dalam pada masa sama dia juga yakin kehadiran bekas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari di posisi pertahanan bakal memantapkan pasukan terbabit.

Menurutnya, sebagai pemain berpengalaman Khairul Helmi mampu memberi suntikan jitu bagi membantu MU mencapai kedudukan yang terbaik di Liga Malaysia 2021.

Malah, apa yang penting sentuhannya bersama Kedah selama 14 tahun bakal menjadi azimat buat pemain itu untuk berbakti kepada MU selepas turut cemerlang bersama skuad bawah 23 tahun negara dan pasukan kebangsaan.