Perlawanan Ini Melakar Sejarah Bola Sepak Negara

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pendahulu Liga Super menjelang penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M), yang secara rasminya bermula Isnin ini, sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun sekadar mencatat keputusan 1-1, berdepan FELDA United pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim malam ini, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan musim ini.

JDT di bawah bimbingan ketua jurulatih Benjamin Mora tidak pernah tewas dalam tiga aksi pertama.

Perlawanan malam ini turut melakar sejarah dalam lipatan bola sepak negara khususnya saingan Liga Super, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menjalankan perlawanan minggu ini tanpa penonton, sebagai langkah keselamatan berikutan penularan wabak Covid-19.

Peny3rang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-21, sebelum bekas peny3rang skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis, Frederic Bulot, menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan permainan ‘tiki-taka’ dalam kotak penalti lawan.

Pemain import, Gonzalo Cabrera berpeluang memberikan tiga mata berharga kepada pasukan, namun sepakan penalti diambil bijak ditampan penjaga gol Muhaimin Mohamad pada minit ke-62, sebelum kedua-dua pasukan buntu dalam menjaringkan gol kemenangan sehingga tamat perlawanan.

Pada masa sama, Perak menarik nafas lega apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pujian harus diberikan kepada peny3rang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang mel3dak dua gol pada minit ke-16 dan 80 untuk menafikan kedudukan selesa diraih Sabah, menerusi gol pemain tengah Azizan Nordin pada minit kelima, dan Kassy Guy Gnabouyou pada minit ke-27.

Dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sarawak, Kuala Lumpur mencatat kemenangan kedua musim ini, selepas menewaskan Sarawak 2-1, sementara itu Selangor II melakar kemenangan kedua berturut-turut musim ini, dengan menjinakkan Perak II 2-1, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Pulau Pinang seri 0-0 menentang Kuching FA di Stadium Bandaraya, manakala pertembungan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Perbandaran Selayang, turut berakhir dengan keputusan 0-0.