Perkembangan Daripada CAS legakan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memberi tempoh lanjutan selama dua minggu bagi melengkapkan dokumen berhubung rayuan bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan tempoh lanjutan itu bermula pada 22 Mei lalu selepas wujudnya peruntukan khas di CAS dari segi tempoh masa untuk memfailkan dokumen akibat pand3mik COV!D-19.

Lanjutan masa ini memberi tempoh yang lebih panjang kepada KAFA dalam persediaan kes rayuan terbabit.

“Ini juga satu perkembangan positif untuk KAFA dalam mencari jalan penyelesaian di samping mengaktifkan tabung derma atas talian bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, KAFA optimis CAS akan memberi ‘talian hayat’ kepada persatuan itu membabitkan isu tunggakan gaji Cassio yang berjumlah RM629,620.28.

Meskipun gagal melangsaikan tunggakan terbabit dalam tempoh yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berakhir Sabtu lalu, Ahmad Muzakkir menjelaskan perkembangan terbaharu daripada CAS tampak memberi sedikit kelegaan kepada pihaknya.

Kita sudah melengkapkan segala proses dokumentasi yang diperlukan dan kita sudah mendapat maklum balas bahawa CAS pun sudah menerima dokumen yang kita kemukakan.

Jadi di sini, ada ruang untuk penangguhan pembayaran seperti yang kita hajatkan.

Kita masih ada peluang dan masa kalau CAS menerima rayuan kita.

Selain itu, kita juga mencari alternatif lain di mana kita masih cuba berusaha untuk mengadakan rundingan lagi dengan pihak Cassio, katanya.