Penyokong jangan panik dan bimbang

IPOH: “Penyokong jangan panik dan bimbang, tentunya kita tidak akan menggunakan nama lain selain daripada nama Perak,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, proses mendaftarkan nama persatuan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah berjaya diselesaikan sebelum hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, bagi menggunakan nama ‘Perak’ itu memerlukan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan beliau menggunakan nama sementara sebagai Bos Gaurus FC.

“Apabila kita sudah buat kertas Exco dan dibawa ke mesyuarat Exco bagi mendapatkan kebenaran menggunakan nama Perak itu, maka Bos Gaurus FC itu ditukar namanya kepada Perak FC.

“Jadi, semua penyokong jangan panik, yang pentingnya kita hendak menang perlawanan terakhir dan Insya-Allah kita berjaya memasuki pertandingan AFC pada musim yang akan datang,” katanya selepas merasmikan program Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru di sini hari.

Beliau berkata, perkara itu akan diusulkan dalam mesyuarat Exco esok bagi mendapatkan kelulusan untuk penggunaan nama Perak FC.

“Jadi kalau rakyat sudah hendak mula menggunakan nama Perak FC pun gunakanlah,” katanya.

Terdahulu, penyokong Perak dalam memorandum yang diserahkan kepada PAFA berharap badan induk itu mengekalkan nama Perak dalam proses penswastaan pasukan itu.