Penantian Seluruh Peminat Bola Sepak Tanah Air Akhirnya Terjawab

KUALA LUMPUR: Penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat Liridon Krasniqi menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab selepas dia kini sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dengan mengesahkan pihaknya sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkhabaran itu sudah pasti menimbulkan perasaan tidak sabar seluruh peminat untuk melihat pemain kelahiran Kosovo itu menggalas tugas selaku perancang tengah baharu skuad Harimau Malaya.

Stuart bagaimanapun turut mengesahkan masih belum mendapat perkembangan daripada FIFA mengenai permohohan seorang lagi bakal pemain naturalisasi, Guilherme De Paula.

“Memang kalau diikutkan perlawanan dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dia (Liridon) sudah boleh main, tapi FIFA tak boleh keluarkan surat selagi dia tidak memenuhi syarat lima tahun (beraksi di Malaysia).

“Dia cukup syarat lima tahun pada 25 Mac lalu dan perlawanan kita berdepan UAE sepatutnya pada 26 Mac lalu. Selepas penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia, mereka (FIFA) keluarkan surat,” kata kepada BH Sukan, semalam.

Pada 3 Februari lalu, FAM mengumumkan Liridon mendapat taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian selepas menerima Mykad di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.

Peluang untuk dia membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya berdepan UAE pada 26 Mac lalu mencetuskan tanda tanya selepas belum mendapat kelulusan daripada FIFA selain dia hanya akan melengkapkan syarat lima tahun sehari sebelum perlawanan itu.

Namun, penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia 2022 tampak memberi tuah buat Liridon dan Harimau Malaya untuk tampil dengan senjata baharu berdepan UAE nanti.

Pemain Pahang, Mohamadou Sumareh sebelum ini adalah pemain pertama naturalisasi skuad Harimau Malaya.