peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) protes

KUALA TERENGGANU: Lebih 200 peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) berkumpul di luar pintu masuk utama Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sejurus tamat perlawanan sebagai tanda protes berikutan prestasi memalukan dipamerkan pemain selepas skuad itu tumpas 3-5 kepada pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) biarpun mendahului 3-0 malam tadi.

Bagaimanapun perhimpunan aman lebih setengah jam itu dapat disuraikan pihak keselamatan.

Terdahulu peminat tegar skuad Penyu itu berkumpul dengan melaungkan kata-kata ‘pedas’ termasuk meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan rombakan terhadap pemain termasuk awang import kerana gagal mempamerkan aksi terbaik.

Mereka juga mendesak pihak pengurusan PBSNT diberi nafas baharu dan mendesak beberapa ‘kayu mati’ berundur selain perlu memberi penjelasan kepada peminat berikutan prestasi teruk pemain termasuk tewas kepada Pahang pada suku akhir kedua Piala FA Jumaat lalu.

Peminat  juga mendesak PBSNT merombak barisan kejurulatihan selepas gagal melaksanakan tugas dengan berkesan biarpun sudah memasuki pusingan kedua liga.

Seorang peminat setia, Ariffin Mat Ali, 57, menyatakan kesal kerana dia bersama ribuan lagi peminat setia TFC berasa tertipu dengan persembahan pemain yang tidak ada semangat untuk menang.

“Kami berkumpul malam ini bukan untuk merusuh, tapi sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan yang gagal membantu pasukan meningkatkan corak permainan selepas sekian lama kami berdiam diri.

“Kami sayangkan bola sepak Terengganu, tapi jika ini yang berlaku perubahan drastik harus dilakukan segera dalam pasukan dan pihak pengurusan bagi mengelak skuad Penyu terus merudum.

“Saya minta Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PBSNT campur tangan dalam hal ini, kami mahu dialog dengan pihak pengurusan untuk mengetahui punca sebenar kemerosotan pasukan.

“Kami harap permintaan ini mendapat perhatian Presiden PBSNT demi menyelamatkan maruah pasukan TFC,” ujarnya.

Seorang lagi peminat, Maliki Che Da, 57, turut berharap kerajaan negeri campur tangan dalam hal ini bagi mengetahui apa sebenarnya yang melanda pasukan.

“Sebagai peminat tegar sejak dulu lagi, kami harap rayuan ini didengar pihak PBSNT dan persatuan dan bukannya mengambil sikap membisu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *