Pemenang Piala Dunia Sertai Kelab Liga M

Selangor FC mengesahkan pemenang Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) edisi 2009, Oliver Buff menjadi pilihan mereka untuk memperkasa pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain dari Baden, Switzerland itu pernah bersama skuad Bawah 15 tahun (B-15) hingga Bawah 21 tahun (B-21) negaranya dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsanya termasuklah Sukan Olimpik 2012 London.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu juga turut menjadi tonggak membantu FC Zurich menjulang Piala Swiss untuk dua musim berturut turut iaitu pada 2013-2014 dan 2015-2016 sebelum menyertai pasukan divisyen dua, Real Zaragoza pada 2017.

Pemain serba boleh itu terus melebarkan sayapnya dengan menyertai kelab divisyen satu Cyprus, Anorthosis Famagusta sebelum kembali ke Switzerland untuk bersama kelab divisyen dua, Grasshopper Club Zurich untuk semusim.

Sebagai rekod, Oliver adalah pemain terbaru kelima yang diperkenalkan pada musim ini selepas mereka mengikat Shahrel Fikri, Tim Heubach, R Dinesh dan Nik Sharif Haseefy sebelum ini.