Pemain tak ‘buka mulut’ punca

Terkilan ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan melihatkan aksi anak buahnya yang longlai terutamanya pada separuh masa pertama ketika menentang Perak sehingga menyebabkan mereka bolos dua gol pada babak pertama.

Pada pengamatannya, dua jaringan tersebut berpunca daripada sikap pemain yang tidak ‘buka mulut’ untuk membuang bola bahaya dalam kotak penalti termasuk ketika jaringan kedua Perak di mana bola sepakan penalti oleh Leandro berjaya diselamatkan oleh Khairulazhan tetapi bola muntah hasil daripada aksi penyelamatan itu tidak dikeluarkan oleh mana-mana pemain yang berdekatan itu.

“Saya ucapkan syabas kepada Perak, saya sentiasa cakap yang Perak adalah satu pasukan yang baik. Mereka telah membina satu pasukan yang kuat, kalau tidak, macam mana mereka boleh masuk final Piala FA.

“Saya terkilan cara kita bermain pada separuh masa pertama, tak kawal permainan langsung. Walaupun kita jaringkan dua gol, dan kita dibolosi dua gol dengan satu gol sendiri sebab tak ‘buka mulut’. Dan satu lagi penalti.

Penalti tidak mengapa, tetapi penalti itu terkena tiang, datang kembali dan semua pemain kita yang ada di situ, tidak memberikan sebarang reaksi. Itu yang saya tidak suka.” katanya selepas perlawanan, semalam.

Separuh masa kedua, pengendali berusia 61 tahun ini membuat sedikit perubahan dengan memasukkan Norhakim Isa, Syazwan Zainon dan Latiff Suhaimi. Corak permainan mereka menampakkan perubahan positif dan Selangor mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Namun, Ifedayo Olusegun yang seringkali terperangkap ofsaid serta pemain lain tidak mengambil peluang untuk menjaringkan gol menyaksikan Selangor terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 di Stadium Perak, Ipoh.

“Separuh masa kedua, mereka bermain dengan lebih baik tetapi kita bolos satu gol yang mudah. Saya  tidak boleh salahkan Hakim kerana dia bukan bek kiri. Dalam kem Selangor sekarang, ramai yang cedera. Saya terpaksa gunakan dia.” jelasnya.

Bercakap soal kecederaan pemain, B. Satiananthan menganggap kem Selangor sedang dalam keadaan ‘sakit’ ekoran kecederaan yang menimpa ramai pemain serta beberapa pemain belum lagi dapat diturunkan kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, untuk aksi seterusnya menentang Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC), B. Satiananthan akan mencari ramuan untuk memastikan mereka dapat kembali meraih kemenangan di Stadium Shah Alam, sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *