Pemain Import Akan Di Kurangkan

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkan mengurangkan kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menjawab persoalan yang dilontarkan pengguna media sosial menerusi program Anda Tanya, Presiden Jawab yang disiarkan di saluran YouTube badan induk itu, semalam.

Cadangan ini bagus, kita akan pertimbangkan, kata Hamidin sebagai menjawab soalan pengguna media sosial yang menggunakan nama aliimrnn_ mengenai adakah FAM patut ambil pendekatan mengurangkan kuota pemain import berikutan banyak pasukan berdepan isu tunggakan gaji.

Berdasarkan peraturan, pasukan yang beraksi dalam Liga Super boleh mengambil lima pemain import manakala Liga Perdana empat.

Sebelum ini, beberapa pasukan dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji termasuk membabitkan pemain import dan pemain tempatan selain ada kes yang sudah dilaporkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah diarahkan badan induk bola sepak dunia itu untuk melunaskan tunggakan gaji dua bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus dan Bruno Lopes berjumlah lebih RM700,000.

Selain itu, Hamidin yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menjawab persoalan mengenai adakah MFL atau FAM akan menambah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.

Beliau menjelaskan belum mempunyai perancangan menambah pasukan dalam bertanding dalam dua liga utama itu ketika ini.

Dengan kekangan kewangan yang impaknya kepada FAM dan MFL, saya bukan lagi nak lebihkan, mungkin saya nak kurangkan. Tapi setakat ini kita akan kekalkan dulu 12 pasukan di Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana.

Tapi untuk kita tambah, tak mungkin buat ketika ini kerana kita pun nak menjaga kualiti pasukan yang banyak sangat terbabit dengan masalah kewangan, katanya.