Pemain Bintang Kedah Angkat Kaki

SALAH seorang pemain utama skuad Kedah memberi bayangan akan mengundur diri termasuk menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam tempoh terdekat.

Pemain tempatan terbabit difahamkan sudah mengemukakan surat permohonan penamatan kontrak melalui wakilnya pada 29 Mei lalu dan pihak KFA dikatakan sudah memberi maklum balas terhadap permohonan tersebut.

Pemain yang membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia 2016 itu turut membuat sejumlah tuntutan kepada KFA dan ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA baru-baru ini.

Dia yang ditemui hari ini, mengesahkan surat penamatan kontrak sudah dihantar pihaknya kepada KFA dan sedang menunggu maklum balas lanjut pihak berkaitan.

Saya sudah mengemukakan surat permohonan pembatalan kontrak melalui wakil saya kepada pihak KFA dan ketika ini biarlah KFA sendiri yang mengumumkan keputusan berkenaan.

Surat menamatkan kontrak berkenaan adalah atas pilihan sendiri dan ingin menumpukan perhatian penuh kepada urusan keluarga, katanya yang banyak menyumbang kejayaan Kedah.

Dia yang turut pernah beraksi bersama pasukan Liga Super lain memaklumkan langkah itu juga bertujuan meringankan beban KFA yang kini berhadapan masalah kewangan.

Perkara ini lebih bersifat peribadi dan perancangan semasa yang saya lakukan bukan berniat mahu meninggalkan Kedah disebabkan masalah tunggakan gaji seperti dialami ketika ini.

Dalam situasi semasa, saya sedia berk0rban untuk pasukan yang terpaksa menanggung beban kewangan, maka pengunduran ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban KFA, katanya.

sumber: HM

Sementara, pihak KFA masih belum membuat apa-apa pengumuman berkaitan penamatan kontrak pemain berkenaan dan usaha mendapatkan reaksi lanjut berkaitan isu itu masih dilakukan.