Pasukan Liga M ‘korek tabung’

Ketika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa ‘mengemis’ mengharapkan derma dari penyokong untuk membayar hutang bekas pemain mereka, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain juga tampak terpaksa ‘mengorek tabung’ untuk terus bernafas.

Semua itu berpunca daripada krisis pandemik COVID-19 yang menyaksikan pasukan tidak mampu menjana pendapatan terutama dari aspek kutipan jualan tiket kerana liga tertangguh selain kegagalan penaja melunaskan komitmen mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa tidak menolak kemungkinan kewangan semasa persatuan itu hanya mampu bertahan antara satu hingga dua bulan sahaja lagi sekiranya tidak mendapat dana tambahan lain.

Dia berkata, KLFA juga menunggu perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan perjalanan liga musim ini sebelum mengadakan perbincangan dengan penaja.

“Kalau kata FAM dan MFL akan maklumkan pelan untuk liga musim ini pada Jun, selepas itu baru kami boleh bawa kepada penaja. Selagi tiada pelan itu, penaja pun tak berani (bagi dana), takut nanti liga batal atau sebagainya.

“Jadi kita tengok dulu bagaimana keadaan, mungkin kami boleh bertahan satu hingga dua bulan saja. Buat masa ini kami hanya menggunakan wang simpanan yang ada, tapi akan usaha untuk melihat apa yang boleh dilakukan.

“Bola sepak di Malaysia ini bukan ada keuntungan pun, kita hanya belanja dan harapkan kepada penaja. Namun, apa yang penting kita tak mahu berhutang dan berdepan tunggakan gaji atau bayaran lain,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Jika Kuala Lumpur yang dicanang sebagai antara pasukan yang memiliki dana kewangan yang kukuh pun berdepan masalah ketika krisis COVID-19, apa pula dengan nasib pasukan yang kurang ‘kaya’ untuk terus bertahan sehingga liga boleh disambung semula pada September ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Mohd Ashiq Abd Samad ketika dihubungi juga mengakui persatuan itu berdepan masalah yang sangat kritikal ketika ini untuk menguruskan perbelanjaan.

Malah, dia tidak dapat memberi jaminan sampai bila MUSA mampu bertahan dengan kewangan yang ada ketika ini.

“Kebergantungan kita masih kepada kerajaan negeri dan kita bernasib baik kerana Presiden MUSA memberi komitmen yang sangat tinggi dalam menyelesaikan semua perkara berkaitan persatuan termasuk dari aspek kewangan.

“Kita belum ada mesyuarat penuh Exco lagi, dan belum buat keputusan. Cuma kita bincang mengenai pemotongan gaji pemain dan pegawai dan ia menunjukkan kita sudah ambil langkah penjimatan.

“Sampai bila boleh bertahan saya tak boleh nak jawab. Kita tak tahu boleh bertahan sampai bila, tapi memang sakit, dengan pendapatan tiada, penaja tiada dan hanya bergantung kepada kerajaan negeri, sedangkan kerajaan negeri juga ada tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.