Pahang melepasi rintangan pusingan ketiga

Juara bertahan, Pahang, melepasi rintangan pusingan ketiga Piala FA biarpun terpaksa menanti sehingga minit ke-84 sebelum mengesahkan kemaraan. 

Empat lagi aksi berlangsung hari ini yang menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh itu mempertaruhkan barisan yang mirip kesebelasan ketika menentang PKNS FC, Ahad lalu, untuk aksi di Stadium KLFA, Cheras, sebentar tadi.

Namun, tuan rumah, UKM FC, kental mematahkan deretan percubaan berbahaya Tok Gajah termasuk lebih sedozen sepakan penjuru yang dilancarkan.

Begitupun, benteng UKM akhirnya terkulai juga pada penghujung permainan selepas tindakan ketua pasukan Pahang, Matthew Davies, yang cuba melakukan hantaran lintang rendah, sebaliknya melihat umpanannya itu mengelirukan pertahanan dan penjaga gol lawan, Khatul Anuar Md Jalil.

Sementara itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) tumbang di hadapan penyokong sendiri selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara insiden kad merah pertahanan, Kiko Insa, sejak minit ke-11 permainan.

Harimau Selatan dikecewakan PKNS FC melalui gol tunggal Kpah Sherman, tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Untuk itu, Pahang, Perak dan PKNP akan mengiringi Felda United, Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur untuk undian suku akhir, esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *