‘Over’ Sangat Ni.

CADANGAN pemotongan gaji bermula April ini sehingga hujung tahun nyata tidak dipersetujui pemain Selangor yang mengganggap ia keterlaluan.

Menurut sumber terdekat pasukan, tawaran pemotongan gaji sememangnya disambut baik pemain yang menyedari ia adalah langkah terbaik dalam membantu kantung kewangan pasukan.

Malah, ketiadaan aksi Liga Malaysia (Liga M) yang ditangguh pada 16 Mac lalu ekoran pandemik Covid-19 juga difahami oleh pemain, namun keputusan pengurusan untuk memotong sehingga hujung musim tidak dipersetujui pemain.

Ia sekali gus, menyaksikan skuad Red Giants memerlukan lanjutan tempoh masa untuk mengadakan perbincangan yang sebenarnya sudah berakhir Rabu lalu.

“Mana boleh nak potong sampai hujung musim, ini dah melampau. Pemain semuanya tak setuju dan enggan menerima tawaran pemotongan gaji seperti itu.

“Sepatutnya potong dalam tempoh penangguhan liga saja. Kalau tiba-tiba liga mula balik pada Jun atau Julai macam mana. Tak boleh buat macam itu,” kata sumber.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan tempoh sehingga 22 April bagi pasukan mencapai persetujuan berhubung isu pemotongan gaji seperti mana pekeliling yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak Fifa Covid-19 yang mengandungi empat perkara utama itu antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan.

Di bawah pekeliling itu, Fifa mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

sumber: HM

Setakat ini, tiga pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United dan Felda United serta tiga pasukan daripada Liga Perdana iaitu UKM FC, Kuching FA dan Terengganu II dilaporkan bersetuju melaksanakan pemotongan gaji pemain dan pegawai selepas perbincangan mengenai perkara itu berjalan lancar.

Manakala, kira-kira separuh daripada 24 pasukan Liga M memerlukan tambahan masa bagi mencapai persetujuan bersama dan FAM sedia melanjutkan tempoh berkenaan.