Normal baharu bola sepak bebankan pasukan

Sejauh mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat seandainya saingan domestik dapat diteruskan pada September ini?

Itu persoalan yang timbul selepas Bundesliga memberikan contoh bagaimana bola sepak dapat dimainkan dalam tempoh pandemik mengikut normal baharu berpandukan SOP yang boleh dianggap ‘leceh’ tetapi perlu dilakukan atas faktor keselamatan.

Sekiranya model sama diguna pakai untuk pasukan Liga M, pasukan tampak perlu bersedia dengan SOP yang dijangka lebih ketat sekiranya mahu meneruskan saingan yang ditangguhkan sejak Mac lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengakui banyak kos tambahan yang perlu ditanggung pasukan memandangkan SOP sudah pasti meliputi aspek sebelum, semasa dan juga selepas perlawanan.

“Kalau kita tengok di Bundesliga, apa yang kita lihat ketika perlawanan adalah seperti penjarakan sosial bangku simpanan dan pemain tidak meraikan jaringan tetapi apa yang kita tidak nampak adalah SOP mereka sebelum dan selepas perlawanan.

“Sebelum perlawanan, saringan dilakukan ke atas pemain dan bola serta padang akan disanitasi. Begitu juga selepas perlawanan jadi ini semua memerlukan kos tambahan dan ada pasukan yang akan terbeban dengan perkara ini.

“Pasukan juga akan menghadapi isu logistik di mana mungkin mereka perlu menggunakan dua bas untuk pergi ke perlawanan di tempat lawan selain isu rentas negeri dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, normal baharu dapat disaksikan pada aksi Bundesliga yang berlangsung Sabtu lalu apabila beberapa SOP diperkenalkan bagi membolehkan bola sepak kembali dimainkan.

Antaranya penjarakan sosial di bangku simpanan, pemain dan barisan kejurulatihan perlu memakai topeng muka dan tiada sambutan berlebihan dalam kalangan pemain selepas menjaringkan gol.