Nampaknya jodoh bersama JDT Tidak Lama

Nampaknya jodoh Aaron Niguez bersama Johor Darul Ta’azim tidak lama.

Selepas menyertai JDT pada tahun 2018 dan hanya tiga penampilan Harimau Selatan, Aaron Niguez kembali ke Sepanyol dengan menyertai pasukan divisyen dua (Segunda División) Sepanyol, Malaga CF.

Abang kepada pemain Atletico Madrid, Saul Niguez, itu adalah antara nama yang menjadi perhatian pada tahun 2018 apabila dia menyertai JDT daripada kelab Sepanyol, Real Oviedo. Sayang sekali peminat Harimau Selatan tidak dapat melihat aksi terbaik Aaron ketika bersama mereka dan dia digantikan dengan Leandro Velasquez pada tahun 2019.

Aaron sebelum ini pernah beraksi dengan beberapa kelab Eropah terutamanya di Sepanyol. Dia pernah beraksi dengan pasukan Valencia B, Xerez, Iraklis (Greece), Glasgow Rangers (Scotland), Celta Vigo, Recreativo Huelva, Almeria, Elche, Sporting Braga (Portugal), Tenerife dan Real Oviedo sebelum menyertai JDT.

Pemain berusia 30 tahun itu juga pernah mewakili Sepanyol di peringkat umur 16 tahun hingga 21 tahun. Dia merupakan sebahagian daripada pemain skuad bawah 19 tahun Sepanyol yang menjuarai Kejuaraan Eropah Bawah 19 tahun pada tahun 2007 dengan menewaskan Greece di perlawanan akhir.

Bersama JDT, Aaron pernah menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan sayang sekali tidak dapat menjadi sebahagian daripada pemain yang memenangi Liga Super pada tahun lalu.