Nama Safawi Rasid Terus Melonjak Di peringkat Asia

KUALA LUMPUR: Nama bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid terus melonjak di peringkat Asia selepas dipilih sebagai pemenang Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Keputusan itu diumumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di laman rasmi mereka, hari ini dengan tuah diperoleh Safawi menerusi jaringan yang diledak ketika perlawanan peringkat kumpulan ACL 2019 menentang Shandong Luneng.

Jaringan yang dihasilkan menerusi sepakan lencong menarik itu mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 34 peratus untuk mengalahkan sembilan lagi calon lain.

Sepanjang tiga minggu tempoh undian dibuka, sebanyak 19,933 undian keseluruhan diterima daripada peminat dengan Abdulaziz Al Dawsari dari kelab Al Hilal di kedudukan kedua selepas mendapat 14 peratus undian.

Pada Mei lalu, jaringan sama turut membawa tuah kepada Safawi selepas dipilih sebagai pemenang gol lencongan terbaik sepanjang ACL.