N Thanabalan luah perasaan

Bekas pemain Negeri Sembilan, N Thanabalan masih memasang impian mewakili skuad kebangsaan biarpun ketika ini beraksi dengan pasukan Perak FA II di pentas Liga Perdana.

Bekas striker skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu yang dipinjamkan dari pasukan Kedah berkata, biarpun saingan merebut tempat ke dalam skuad kebangsaan dilihat semakin mencabar kerana ramai pemain muda yang hebat, namun impian menyarung jersi Malaysia belum pudar.

Saingan juga daripada pemain naturalisasi yang dilihat mendapat tempat dalam skuad kebangsaan kerana kebolehan dan pengalaman mereka beraksi bersama kelab luar.

Bagaimanapun, semuanya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dengan harapan suatu hari nanti dapat peluang menyertai skuad kebangsaan, katanya.

Thanabalan mula mencipta nama apabila pemain kelahiran Rantau, Negeri Sembilan berusia 24 tahun itu membantu skuad B-23 negara muncul juara pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak AFC di Bangkok pada 2017.

Dia menyumbat dua gol dalam aksi penentuan pusingan kelayakan itu sekali gus membawa skuad negara layak bersaing dalam kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di China pada Januari 2018, yang turut membabitkan negara Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Mengulas mengenai kedudukannya bersama skuad Perak FA 11 bimbingan Abu Bakar Fadzim, Thanabalan berkata, komitmennya kekal tinggi untuk membantu pasukan itu meraih pencapaian terbaik jika saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung, September depan.

Menurutnya, dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin di bawah bimbingan Abu Bakar bagi memastikan sumbangan kepada pasukan itu dapat diterjemahkan dengan pencapaian cemerlang musim ini.

Katanya, beraksi dengan pasukan Liga Perdana tidak bermakna prestasi seseorang pemain sudah menurun dan peluang menyertai skuad kebangsaan menjadi tipis.

Ada pemain yang mewakili pasukan liga kedua masih berpeluang menyertai skuad kebangsaan dan apa yang penting prestasi seseorang pemain, katanya.