Muncul Secara Tiba-Tiba

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B.Satianathan tidak mahu pihak luar mengganggu tugas Tan Cheng Hoe dengan mencadangkan pemain dari luar untuk beraksi bersama pasukan negara.

Satia berkata demikian setelah dua pemain yang didakwa memiliki darah kacukan iaitu Marcel Kalonda dan Harry Edge muncul secara tiba-tiba dan menyatakan kesediaan mereka untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Menurut Satia, semua keputusan terletak di tangan Cheng Hoe sama ada beliau mahu menggunakan khidmat pemain tersebut dan pihak lain tidak perlu ikut campur dalam urusan tersebut.

“Cheng Hoe yang akan lihat pemain itu dan kalau perlu pergi ke tempat mereka beraksi. Cheng Hoe kena pergi lihat dengan mata sendiri sama ada mereka sesuai atau tidak berada dalam skuad kebangsaan.

“Kita pun tak tahu kerana tiba-tiba nama pemain (kacukan) ini muncul. Tapi kalau dia (Cheng Hoe) mahukan seorang pemain yang lebih handal dari Safawi (Rasid) atau Mohamadou Sumareh, mungkin dia kena pergi tengok pemain ini beraksi dalam tiga atau empat perlawanan.

“Bukan semua (pemain luar negata bagus), kadang-kadang kita teruja bila dengar pemain ini beraksi di Eropah, tapi di sana ada juga divisyen empat atau lima. Bagi saya skuad kebangsaan ketika ini sudah stabil,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Marcel Kalonda menyatakan beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui datuknya yang dilahirkan di Sabah manakala Harry Edge pula melalui ayahnya yang dilahirkan di Melaka.